
Tulisan bukan sekadar susunan huruf di atas kertas.
Dengan sentuhan tangan, dakwat dan kreativiti, perkataan boleh berubah menjadi karya yang membawa cerita tentang identiti, budaya serta tanah air.
Semangat itu diterjemahkan menerusi Merdeka in Motion 2026 iaitu sebuah pameran seni kaligrafi yang menghimpunkan 35 karya asli daripada 24 kaligrafer dan seniman lettering berpangkalan di Malaysia.
Berlangsung dari 10 hingga 18 Ogos lalu di CzipLee, Bangsar Village II, Kuala Lumpur, pameran itu merupakan sebuah inisiatif yang diasaskan oleh penggiat kaligrafi, Syuhada Jaafar dengan kerjasama The Write Place Asia iaitu sebuah komuniti dan platform menghimpunkan peminat serta penggiat seni tulisan.
Menariknya, pameran sulung anjuran bersama CzipLee dan Byhandarts itu mengangkat tema ‘Our Hands. Our Heritage. Our Future’.
Karya yang dipamerkan menampilkan pendekatan pelbagai, daripada kaligrafi tradisional dan kontemporari hingga lettering, media campuran serta karya eksperimental.
Setiap seniman pula diberi kebebasan untuk mentafsir makna merdeka berdasarkan pengalaman dan pandangan masing-masing.
Ada yang mengangkat soal kebebasan dan warisan, manakala sebahagian yang lain menyentuh persoalan identiti, budaya serta pengalaman peribadi.
Kepelbagaian pendekatan itu menjadikan pameran berkenaan bukan sekadar himpunan tulisan yang indah, sebaliknya satu ruang untuk melihat bagaimana seni kaligrafi berkembang mengikut zaman.

Menurut Pengasas Byhandarts, Syuhada Jaafar, idea pameran itu tercetus selepas dia menyertai program bimbingan dan pameran kaligrafi antarabangsa pada tahun 2024.
“Saya sedar kita mempunyai begitu ramai kaligrafer berbakat di Malaysia, tetapi tidak banyak ruang untuk mereka berkumpul dan menghasilkan karya sebagai seniman.
“Saya mahu pameran Merdeka in Motion ini menjadi ruang untuk memperkenalkan kaligrafi melangkaui tulisan cantik atau personalisasi,” katanya.
Merdeka in Motion turut dibangunkan bersama Yie Ruo dan Jota daripada The Write Place Asia dengan hasrat menghubungkan semula komuniti kaligrafi tempatan serta membuka ruang untuk mereka bereksperimen dengan seni.
Untuk makluman, perkataan ‘motion’ merujuk kepada sifat kaligrafi, warisan dan identiti yang sentiasa bergerak serta berubah mengikut masa.
Pemilihan Ogos pula dibuat bersempena Bulan Kemerdekaan dan Hari Kaligrafi Sedunia pada 12 Ogos lalu.
Pada tarikh itu, komuniti seni dan kaligrafi berkumpul di CzipLee untuk meraikan pameran tersebut.
Antara yang berkongsi pengalaman ialah Inez daripada Inez Calligraphy iaitu salah seorang perintis komuniti kaligrafi tempatan.
Dia menceritakan bagaimana kaligrafer Malaysia pada awalnya saling mengenali melalui media sosial untuk berkongsi ilmu dan berkembang bersama dengan semangat community over competition.
Selain pameran, CzipLee turut menganjurkan bengkel dan aktiviti kaligrafi sepanjang hujung minggu bagi memberi peluang kepada pengunjung mencuba sendiri seni tersebut.
Selepas berakhir di Bangsar Village II, pameran Merdeka in Motion 2026 berada di pop-up Merdeka CzipLee, Bangsar Village 1 sehingga esok.
The post Terjemah makna merdeka menerusi kaligrafi appeared first on Kosmo Digital.






