
KOTA BHARU – Kadangkala, luka paling dalam bukan yang berdarah, tetapi kerinduan yang dipendam bertahun-tahun tanpa suara. Rindu seorang anak yang membesar tanpa panggilan “ayah”, tanpa wajah untuk dikenang dan tanpa pelukan untuk ditagih. Namun, apabila Allah mengizinkan, kasih yang terpisah puluhan tahun mampu bertaut kembali walau di usia senja.
Satu perkongsian menyentuh hati yang dimuat naik oleh pengguna TikTok, @subaithahsue, baru-baru ini mencuri perhatian ramai apabila menceritakan detik penuh emosi pertemuan semula seorang anak dengan ayah kandungnya selepas terpisah selama lebih empat dekad.
Menerusi kapsyen panjang yang sarat emosi, wanita itu berkongsi kisah seorang lelaki yang sepanjang 44 tahun hidup tanpa mengenali wajah, suara mahupun kasih seorang ayah. Kali terakhir si ayah melihat anaknya adalah pada tahun 1984, sebelum mereka terpisah dan anak itu membesar menumpang kasih arwah neneknya.
Menurutnya, walaupun lelaki berkenaan sudah lama membina kehidupan sendiri bersama isteri dan anak-anak, takdir Allah akhirnya mempertemukan mereka semula. Kisah pencarian itu bermula apabila si ayah sendiri meminta bantuan untuk mencari anak yang telah lama terpisah, sekali gus membuka lembaran baharu dalam hidup mereka.
“44 Tahun Tanpa Ayah, Luka Yang Dipendam Dalam Diam”
Dengan izin Allah, pencarian itu berhasil. Namun, proses untuk mempertemukan mereka bukan mudah apabila si anak pada awalnya sukar mempercayai sesiapa dan masih menyimpan luka lama. Malah, wanita itu mengakui dirinya turut berdepan ketakutan, apatah lagi apabila ditanya sama ada si anak mampu mengawal emosi ketika bertemu ayahnya kelak.
Akhirnya, selepas berbulan-bulan menanti, 2 Januari 2026 menjadi tarikh keramat apabila ayah dan anak itu dipertemukan buat kali pertama.
Difahamkan, pertemuan penuh emosi itu berlangsung di Pasir Putih, Kelantan, lokasi di mana si ayah menetap, manakala si anak pula difahamkan menetap di Johor.
Tiada kata mampu diungkap, hanya pelukan erat dan air mata menjadi saksi pertemuan penuh makna di usia senja.
“Ini kali pertama abang menatap dan menyentuh sosok tubuh seorang lelaki tua di depan mata. Ini kali pertama abang memanggil ayah,” tulisnya penuh syukur.
“Tiada Kata, Hanya Pelukan Dan Air Mata Jadi Saksi”
Perkongsian itu nyata menyentuh hati ramai, dengan ruangan komen dibanjiri ucapan syukur, doa serta kisah peribadi warganet yang turut melalui pengalaman hampir sama. Ada yang berkongsi kejayaan berdamai dengan ayah selepas puluhan tahun bersengketa, manakala ada juga yang meluahkan kerinduan terhadap ayah kandung yang tidak pernah dikenal sejak kecil.
Tidak kurang juga yang meminta panduan bagaimana mencari ahli keluarga terpisah, dengan warganet lain mencadangkan usaha melalui media sosial dan kenalan lama.
Menutup perkongsiannya, pemilik akaun itu menyerahkan segalanya kepada Allah SWT, memohon agar kasih yang kembali bertaut itu terus dipelihara.
“Dendam dan marah Kau ganti dengan rasa sayang. Sungguh indah cerita yang Kau tulis,” tulisnya lagi.
Kisah ini bukan sahaja mengundang air mata, malah menjadi peringatan bahawa sekuat mana pun luka masa lalu, kasih seorang ayah dan anak tetap mampu bertaut kembali dengan izin Allah. – The Malaysian Update
The post Kasih Terpisah 42 Tahun Akhirnya Bertaut, Detik Pertemuan Ayah & Anak Undang Sebak Warganet appeared first on The Malaysian Update.


