
Michael Schumacher Meninggal Dunia
Penulis biografi terkenal, Michael Schumacher, yang dikenali menerusi karya penulisan mengenai tokoh-tokoh besar dunia seni dan budaya seperti pengarah filem Francis Ford Coppola dan pemuzik legenda Eric Clapton, meninggal dunia pada usia 75 tahun.
Perkara itu disahkan oleh anak perempuannya, Emily Joy Schumacher, pada Isnin. Menurut Emily, bapanya meninggal dunia pada 29 Disember lalu, namun punca kematian tidak didedahkan.
“Ayah saya seorang yang sangat pemurah dan mudah mesra dengan orang sekeliling. Beliau amat menyayangi manusia. Beliau gemar berbual, suka mendengar cerita orang lain dan sangat menghargai kisah-kisah kehidupan.
“Apabila saya mengenangkan ayah, saya membayangkan beliau sedang asyik berbual, secawan kopi di tangan dan buku nota sentiasa di sisinya,” katanya.
Emily turut menyifatkan bapanya sebagai seorang pencinta sejarah dan insan yang baik.
Menurutnya, Michael menulis secara tulisan tangan, memenuhi banyak buku nota sebelum menaip semula hasil penulisan menggunakan mesin taip. Bunyi kekunci mesin taip itu masih segar dalam ingatannya sehingga kini.
Untuk info, antara karya terkenal Michael Schumacher ialah Francis Ford Coppola: A Filmmaker’s Life, Crossroads: The Life and Music of Eric Clapton serta Dharma Lion: A Biography of Allen Ginsberg, yang mengisahkan kehidupan penyair berpengaruh Generasi Beat, Allen Ginsberg.
Selain dunia seni dan sastera, Michael Schumacher turut menulis mengenai sejarah sukan dan komik. Antara karyanya termasuk Mr Basketball: George Mikan, the Minneapolis Lakers & the Birth of the NBA serta Will Eisner: A Dreamer’s Life in Comics. Beliau juga banyak menulis tentang tragedi dan bencana maritim.
Sumber: Daily Mail UK
The post Michael Schumacher Meninggal Dunia appeared first on Siakap Keli.

