
Kastam tumpas sindiket penyeludupan minuman keras bernilai jutaan ringgit di Sabah
Kastam Sabah Rampas 6 Kontena Arak Bernilai Lebih RM2.74 Juta. Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas enam kontena minuman keras yang dianggarkan bernilai lebih RM2.74 juta termasuk duti dan cukai dipercayai diseludup masuk dari negara jiran melalui Pelabuhan Sepanggar di sini pada 10 Mei lalu.
Ketua Penolong Pengarah Kastam Zon Sabah, Datuk Mohd Nasir Deraman berkata, rampasan dibuat pada pukul 9 pagi apabila pasukan serbuan memeriksa 20 kontena di pelabuhan itu kerana mengesyaki barangan diseludup menggunakan kontena berkenaan.

“Pemeriksaan ke atas semua kontena menunjukkan sebanyak enam kontena mengandungi minuman keras berjumlah 149,825 liter bir pelbagai jenama.
“Anggaran nilai harganya ialah RM484,788 dan anggaran duti dan cukai terbabit berjumlah RM2,254,476,” katanya menurut sumber.
Beliau berkata modus operandi sindiket penyeludupan ini adalah untuk memalsukan maklumat dengan mengisytiharkan barangan itu sebagai barang lain seperti lampu, kunci dan pukat.
Mohd Nasir berkata, siasatan tertumpu kepada ejen perkapalan kerana barangan yang diisytiharkan dalam kontena berbeza dan tidak mematuhi peraturan yang digariskan. Beliau turut berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 52 dan 135 (1)(a) Akta Kastam 1967.

