Kaut RM50,000 sebulan, pusat estetik haram diserbu

LocalBeauty
25 Sep 2026 • 11:28 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Kaut RM50,000 sebulan, pusat estetik haram diserbu

PETALING JAYA – Seramai tujuh warga Indonesia ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) kerana disyaki menjalankan perkhidmatan kecantikan dan estetik tanpa kebenaran di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, kelmarin

Operasi bermula kira-kira pukul 12.15 tengah hari itu disertai sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat dari Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama pegawai Cawangan Penguatkuasaan Farmasi Jabatan Kesihatan Putrajaya, Selangor dan Kuala Lumpur.

JIM dalam kenyataan berkata, kesemua suspek terdiri daripada enam wanita dan seorang lelaki berusia antara 19 hingga 44 tahun yang dipercayai bekerja sebagai ‘juruterapi kecantikan’.

Katanya, mereka ditahan dalam operasi khas JIM yang dijalankan di empat lokasi iaitu sekitar Jalan Uranus, Shah Alam, Pandan Perdana serta dua lokasi di Kepong.

“Siasatan mendapati perkhidmatan kecantikan dan estetik berkenaan ditawarkan kepada pelanggan tempatan dan warga asing, khususnya warga Indonesia yang berada di sekitar Lembah Klang. Aktiviti tersebut dipercayai dipromosikan menerusi platform media sosial seperti TikTok dan Instagram, manakala pelanggan perlu membuat tempahan terlebih dahulu sebelum mendapatkan rawatan,” katanya hari ini.

JIM berkata, aktiviti itu dipercayai dijalankan di premis kediaman yang disewa bagi mengaburi pihak berkuasa.

Katanya, warga asing berkenaan dipercayai mempelajari kaedah rawatan estetik di negara asal dan Malaysia serta aktiviti tersebut dipercayai telah beroperasi sejak tahun lalu.

“Kumpulan itu juga dipercayai mampu menjana pendapatan sehingga RM50,000 sebulan bergantung kepada jumlah pelanggan dan jenis perkhidmatan yang ditawarkan,” ujarnya.

Dalam operasi itu, JIM turut menyita ubat-ubatan, peralatan rawatan dan kecantikan, sebuah telefon bimbit serta wang tunai RM400 yang dipercayai hasil daripada aktiviti tersebut.

Dalam perkembangan sama, dua wanita dan seorang lelaki ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Tiga lagi wanita pula ditahan di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama, manakala seorang wanita ditahan mengikut kesalahan di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kesemua mereka turut akan disiasat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berhubung dakwaan memiliki keluaran yang tidak berdaftar dengan kementerian itu. Siasatan juga melibatkan dakwaan kesalahan di bawah Peraturan 7(1) dan Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

JIM menambah, kesemua warga asing yang ditahan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

The post Kaut RM50,000 sebulan, pusat estetik haram diserbu appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved