
PETALING JAYA – Sindiket penyalahgunaan kuota pekerja asing dipercayai mampu mengaut keuntungan antara RM3,800 hingga RM5,000 bagi setiap pekerja menerusi kegiatan membekalkan warga asing kepada syarikat lain.
Kegiatan menggunakan modus operandi majikan ‘A to B’ itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen (JIM) menyerbu sebuah premis perniagaan di Taman Dato’ Ahmad Razali, Ampang, semalam.
Dalam operasi khas bermula pukul 7.30 pagi itu, seramai 20 individu berusia antara 23 hingga 47 tahun ditahan bagi membantu siasatan.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, mereka terdiri daripada dua lelaki warga Bangladesh yang disyaki pemilik dan pengurus perniagaan, enam pekerja wanita tempatan serta 12 pelanggan warga asing.
Pelanggan yang ditahan melibatkan sembilan lelaki warga Bangladesh dan tiga wanita warga Indonesia.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati sindiket terbabit dipercayai mendapatkan kelulusan kuota pekerja asing menggunakan maklumat syarikat yang tidak sepadan dengan profil sebenar.
Menerusi modus operandi berkenaan katanya syarikat atau majikan A mendapatkan kelulusan kuota sebelum membawa masuk pekerja asing menggunakan Pas Lawatan Kerja Sementara.
“Bagaimanapun, pekerja terbabit tidak bekerja dengan syarikat yang memohon kuota sebaliknya dibekalkan kepada syarikat lain atau majikan B untuk mendapatkan keuntungan.
“Pemeriksaan lanjut mendapati warga asing yang dibawa masuk itu bekerja di syarikat lain dan bukannya dengan syarikat pemohon kuota seperti ditetapkan,”katanya dalam satu kenyataan, di sini hari, ini.
Dalam serbuan sama kata Zakaria, pihak berkuasa turut menyita 265 pasport warga Bangladesh, 63 pasport warga Indonesia, 12 pasport warga Pakistan dan sebuah pasport warga India.
“Wang tunai berjumlah RM6,700 yang dipercayai hasil bayaran pelanggan turut dirampas untuk membantu siasatan.
“Siasatan bersama Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) turut mengesan kemungkinan berlakunya pengelakan cukai apabila syarikat terbabit dipercayai mengisytiharkan keuntungan jauh lebih rendah berbanding rekod kewangan sebenar.
“Pemilik perniagaan itu juga didapati gagal melaporkan pendapatan peribadi bagi tahun taksiran 2020 hingga 2023,”ujarnya.
Beliau berkata, pemilik, pengurus perniagaan dan pekerja tempatan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 serta Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966.
Selain itu katanya, 12 pelanggan warga asing turut ditahan kerana dipercayai melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Pemilik syarikat turut disiasat LHDN mengikut Seksyen 112(3) dan Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 berhubung kegagalan melaporkan pendapatan serta pelaporan pendapatan tidak tepat,”ujarnya.-KOSMO! ONLINE
The post Kaut untung sehingga RM5,000, ‘jual’ pekerja asing kepada majikan lain appeared first on Kosmo Online.






