
PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan taktik rakyat tempatan mengaut keuntungan dengan menyewakan kenderaan mereka termasuk motosikal dengan kadar serendah RM100 sebulan kepada warga asing.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly berkata, hasil penguatkuasaan mendapati, rakyat tempatan juga menjadi dalang membekalkan, menjual atau menyewakan kenderaan kepada warga asing termasuk Rohingya khususnya di Kelantan.
“Punca kepada masalah ini ialah apabila orang tempatan membuat sewaan kenderaan kepada warga asing. Dalam konteks ini, JPJ memang tidak benarkan, lebih-lebih lagi jika mereka tiada dokumen sah.
“Dalam kes tertentu, terdapat kenderaan disewakan pada kadar serendah RM100 sebulan, malah turut disalahgunakan kenderaan (persendirian) dengan membawa barangan perniagaan atau perdagangan bagi menjalankan aktiviti tertentu termasuk memungut dan menjual besi buruk,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Aedy, mana-mana rakyat tempatan disyaki berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 berdasarkan peruntukan di bawah Subseksyen 23(2) Akta Pengangkutan Jalan kerana penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM).
“Jadi, mana-mana warga tempatan yang membenarkan warga asing yang tidak memiliki dokumen sah menggunakan kenderaan mereka, kita akan sita semuanya selain dikenakan tindakan saman serta kompaun.
“Selepas ini, mana-mana pemilik kenderaan yang berbuat demikian tidak akan diberi muka oleh JPJ yang mana kita akan pastikan setiap tindakan undang-undang diambil secara tegas,” ujarnya.
Katanya, data Ops PeWA merekodkan sebanyak 2,335 kes membenarkan individu tanpa Lesen Memandu Kompeten (CDL), 185 kes membenarkan pemandu tanpa Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) dan 274 kes membenarkan pemandu tanpa Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL).
“Pemilik rakyat tempatan jangan mengambil mudah atau cuba melepaskan tanggungjawab. Jika mereka menjadi pihak yang membolehkan pelanggaran undang-undang berlaku, mereka juga perlu berdepan tindakan,” ujarnya.
The post Sewa motosikal RM100, denda RM10,000 appeared first on Kosmo Online.






