
SEBERANG PERAI – Tindakan pasangan mengawal kewangan sehingga wanita tidak mempunyai wang untuk memenuhi keperluan diri dan keluarga turut dikategorikan sebagai keganasan, selain penderaan fizikal dan lisan.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, keganasan ekonomi boleh menjejaskan emosi mangsa, mencetuskan kemurungan serta mengganggu keharmonian rumah tangga, termasuk memberi kesan kepada anak-anak.
“Apabila seseorang wanita tidak diberikan wang untuk perbelanjaan rumah, perkara itu juga boleh menjadi satu bentuk keganasan melalui kawalan kewangan dan ekonomi.
“Keadaan ini boleh menyebabkan mangsa berasa tertekan, tidak berpuas hati dengan pasangan dan akhirnya menjejaskan kehidupan seluruh keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Eliminate Violence Against Women (EVAW) sempena Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2026 di sini, hari ini.
Nancy berkata, program kesedaran yang dilaksanakan sepanjang tahun di semua negeri itu turut membantu wanita memahami hak mereka, mendapatkan bantuan serta membina semula kehidupan melalui pemerkasaan ekonomi, khususnya bagi mereka yang berdepan keganasan rumah tangga atau perceraian.
Tambahnya, peningkatan kes yang dilaporkan tidak semestinya menunjukkan keganasan semakin berleluasa, sebaliknya mungkin mencerminkan kesedaran dan keberanian mangsa untuk tampil membuat laporan.
“Kementerian turut menyediakan bantuan kewangan kira-kira RM1 juta yang mula dilaksanakan tahun ini serta bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyediakan rumah transit kepada mangsa yang memerlukan perlindungan sementara.
“Dalam pada itu, statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 5,278 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara sehingga Ogos 2026, dengan Pulau Pinang mencatatkan 228 kes. – KOSMO! ONLINE
The post Kawal duit pasangan juga satu bentuk keganasan – Nancy appeared first on Kosmo Online.






