
GEORGE TOWN - Keganasan terhadap wanita turut berlaku dalam bentuk penderaan ekonomi dan buli siber.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, bercanggah dengan tanggapan segelintir pihak, keganasan bukan hanya datang dalam bentuk fizikal dan emosi.
Menurut beliau, penderaan ekonomi sering berlaku apabila wanita dikawal dari segi kewangan oleh pasangan, termasuk dinafikan wang untuk memenuhi keperluan asas sehingga terpaksa bekerja bagi menampung kehidupan sendiri.
“Contohnya, apabila seorang wanita tidak diberikan wang oleh pasangannya atau tidak mempunyai wang untuk membeli pakaian sendiri, keadaan itu juga boleh dikategorikan sebagai penderaan ekonomi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis pelancaran program Eliminate Violence Against Women (EVAW) 2026, sempena sambutan Hari Antarabangsa bagi Penghapusan Keganasan terhadap Wanita peringkat Pulau Pinang.
Nancy berkata, keganasan terhadap wanita kekal sebagai isu yang membimbangkan dan memerlukan tindakan serius, dengan kerjasama semua pihak bagi memastikan golongan berkenaan mendapat perlindungan sewajarnya.
Menurut statistik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), seorang daripada tiga wanita di seluruh dunia pernah mengalami keganasan fizikal atau seksual sepanjang hayat mereka.
Sementara itu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 5,278 kes keganasan rumah tangga di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, termasuk 228 kes di Pulau Pinang.
Bagi memperluas akses wanita kepada bantuan dan sokongan awal, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melaksanakan beberapa inisiatif, antaranya Program Advokasi Kesejahteraan, Road to EVAW dan PrismaNita.
Program berkenaan antara lain bertujuan memperkasa wanita agar lebih berdikari serta meningkatkan keyakinan diri dalam menjalani kehidupan. - Getaran, 20 Oktober 2026






