amree20/11/2026 - 10:30 DUA anggota polis mengawal keselamatan di kawasan terminal KLIA, Sepang, Selangor. - Gambar BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 20 Nov — Pemeriksaan dadah secara rawak terhadap juruterbang dan kru penerbangan, kawalan akses kakitangan serta tapisan keselamatan lebih ketat antara langkah segera kerajaan bagi memperkukuh keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut merupakan sebahagian daripada pelan tindakan tiga fasa bagi memperketat kawalan keselamatan di terminal udara di Sepang, Selangor itu yang juga merupakan pintu masuk utama negara.
Ujarnya, ia diluluskan Kabinet pada 19 Ogos 2026 menerusi memorandum bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pengangkutan (MOT), berteraskan tiga aspek utama iaitu keselamatan penerbangan, keselamatan negara dan sempadan serta keselamatan fizikal dan perlindungan.
"Fasa pertama yang meliputi tempoh sehingga enam bulan akan memberi lebih tumpuan kepada langkah segera, termasuk memperketat tapisan keselamatan elektronik (e-Vetting), pemeriksaan dadah secara rawak dan kawalan akses kakitangan ke kawasan keselamatan terhad," tegas beliau.
Saifuddin Nasution berkata demikian dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat) yang meminta penjelasan berhubung status pelaksanaan 17 syor yang diluluskan Jemaah Menteri bagi memperkukuh keselamatan di KLIA dan pintu masuk antarabangsa.
Sementara itu beliau menambah, pelaksanaan e-Vetting dan kawalan akses yang diterajui sendiri oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bersama-sama Keselamatan Penerbangan (Avsec) bagi memastikan rekod pemegang pas keselamatan sentiasa dikemas kini.

Langkah berkenaan kata beliau, turut membolehkan akses keselamatan seseorang akan segera ditarik balik sekiranya individu berkenaan tidak lagi memenuhi syarat keselamatan yang ditetapkan.
"Bagi pemeriksaan dadah secara rawak, pelaksanaannya sudah dimulakan terhadap kumpulan sasaran yang dikenal pasti, khususnya juruterbang dan kru syarikat penerbangan sebagai langkah pencegahan awal bagi melindungi integriti keselamatan penerbangan," jelas Saifuddin Nasution.
Fasa kedua pula, yang meliputi tempoh enam hingga 24 bulan, memberi tumpuan kepada perolehan aset strategik berteknologi tinggi, termasuk pengimbas bagasi dan badan berkuasa tinggi serta pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dengan analisis kecerdasan buatan (AI).
Tambah beliau, fasa berkenaan turut merangkumi pengukuhan Unit Anjing Pengesan (K9) Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta integrasi data dengan Pusat Penyelarasan Risikan Nasional (NICC).
Sementara itu kata Saifuddin Nasution, fasa ketiga yang mengambil masa lebih 24 bulan melibatkan pemodenan secara menyeluruh ke atas sistem keselamatan menerusi penggantian pengimbas sedia ada kepada teknologi AI generasi baharu di semua pintu masuk udara, darat dan laut.
"Kerajaan juga merancang pengubahsuaian infrastruktur terminal dan kargo berdasarkan tahap risiko bagi memperkukuh kawalan keselamatan di pintu masuk negara," jelas beliau. - DagangNews.com






