KDN beri jaminan, Kes mahkamah Shuhaily bukan alasan operasi AKPS terhenti

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 5:56 PM MYT
Oh My Media
Oh My Media

A digital platform emphasizing quality content and inspirational stories.

Operasi Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) disahkan berjalan seperti biasa meskipun Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kini berdepan tuduhan di mahkamah.

Operasi AKPS tidak akan terjejas

Memetik laporan daripada Berita Harian, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyatakan isu yang membabitkan individu tidak sepatutnya menyebabkan keseluruhan organisasi gagal menjalankan tanggungjawabnya, lebih-lebih lagi AKPS memainkan peranan penting dalam mengawal serta melindungi sempadan negara.

Menurutnya, beliau sudah meminta Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Datuk Dr Awang Alik Jeman memberikan perhatian khusus bagi memastikan kelancaran operasi agensi berkenaan.

“Saya beri jaminan operasi AKPS tidak terjejas kerana agensi ini penting dalam mengawal dan melindungi sempadan negara. Jadi tak boleh kerana disebabkan Ketua Pengarahnya maka seluruh organisasi itu terhenti.
“Saya bersyukur kerana setakat laporan lapangan diterima operasi AKPS tidak terganggu sama sekali, bahkan mereka terus berjaya menyekat beberapa percubaan termasuk kes satu pasangan yang membawa wang tunai dalam jumlah besar ke Singapura, baru-baru ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Kampung Sungai Tiram, Lekir, Sitiawan.

Image from: KDN beri jaminan, Kes mahkamah Shuhaily bukan alasan operasi AKPS terhenti

Foto: Rela Malaysia

Pelantikan KP AKPS baharu dalam masa terdekat

Mengulas kemungkinan pelantikan pengarah baharu AKPS dalam masa terdekat, Saifuddin Nasution berkata perkara itu belum diputuskan setakat ini.

“Bagi selesai satu-satu dahulu…. kalau ia membabitkan perbicaraan mahkamah, kita biarkan mengikut proses undang-undang berlaku,” katanya.

Image from: KDN beri jaminan, Kes mahkamah Shuhaily bukan alasan operasi AKPS terhenti

Terdahulu, pada 29 Oktober lalu, Saifuddin Nasution mengumumkan keputusan KDN untuk mengembalikan Mohd Shuhaily ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas menamatkan penempatan secara pinjaman di AKPS.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Mohd Shuhaily, Muhammad Rafique Rashid Ali dilaporkan berkata anak guamnya masih menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah AKPS kerana belum menerima sebarang surat atau arahan rasmi berhubung keputusan berkenaan.

Sumber: Berita Harian ( Muhammad Zusyamini Sufian Suri)

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved