Kawalan penjualan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dibatal

LocalPolitics
1 Jul 2026 • 12:03 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kawalan penjualan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan dibatal
Azman berkata, pembatalan itu selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak, yang turut berkuat kuasa mulai Rabu.

KUALA LUMPUR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membatalkan arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, termasuk had pembelian 50 liter, 100 liter dan 150 liter, berkuat kuasa pada Rabu.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Azman Adam berkata, pembatalan Arahan Melaksanakan Kawalan Penjualan Diesel Ke Atas Kenderaan Pengangkutan Darat bertarikh 27 Mac 2026 itu, dibuat susulan pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 21 Jun lepas, mengenai penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel kepada RM2.10 seliter.

Beliau berkata, pembatalan itu juga selaras dengan pelaksanaan mekanisme baharu pembelian diesel bersubsidi menggunakan MyKad di stesen minyak, yang turut berkuat kuasa mulai Rabu.

"Sehubungan dengan itu, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol atau diesel di negeri Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, adalah diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat tidak lagi berkuat kuasa mulai tarikh tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Azman berkata, KPDN yakin mekanisme baharu yang diperkenalkan kerajaan akan memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih bersasar, cekap dan berkesan, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak.

Beliau berkata, KPDN turut menyeru semua pihak supaya mematuhi sepenuhnya mekanisme baharu yang ditetapkan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar demi kepentingan rakyat dan negara. - Bernama 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved