Kawalan perairan Kudat ditingkat

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 5:17 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kawalan perairan Kudat ditingkat

Kota Kinabalu: Kerajaan Sabah mahu kawalan keselamatan sempadan maritim negeri, khususnya di Kudat yang merangkumi perairan Pulau Banggi dan Pulau Balambangan, terus diperkukuh berikutan perkembangan aktiviti ketenteraan di kawasan berhampiran.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkembangan itu menuntut semua pihak sentiasa peka terhadap perubahan persekitaran strategik bagi memastikan keselamatan dan kedaulatan negara terus terpelihara.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik penekanan yang diberikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pengukuhan kawalan sempadan, termasuk perancangan perolehan radar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan kamera jarak jauh di Kudat pada 2028.

“Saya sendiri telah membincangkan perkara ini dengan Perdana Menteri tentang keperluan penambahan anggota keselamatan di kawasan perairan Kudat dan beliau memberi respon yang baik.

“Keselamatan merupakan asas penting yang menjamin kestabilan negara, kelangsungan pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.

“Sehubungan dengan keutamaan keselamatan dan pertahanan yang digariskan di bawah Belanjawan 2027, Kerajaan Negeri Sabah menyambut baik pembentangan oleh Perdana Menteri yang menekankan pengukuhan kawalan sempadan,” katanya semasa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri di Menara Kinabalu, Khamis.

Dalam pada itu, Ketua Menteri turut meminta agensi berkaitan meningkatkan pemantauan terhadap fenomena jerebu rentas sempadan yang kini melanda beberapa kawasan di Sabah, khususnya berhampiran sempadan Indonesia.

Katanya, keadaan itu boleh menjejaskan kesihatan awam, aktiviti ekonomi serta kelancaran operasi keselamatan sekiranya tidak dipantau dan ditangani secara berkesan.

“Situasi kini memerlukan pemantauan berterusan, khususnya di kawasan yang terletak berhampiran kawasan sempadan Indonesia.

“Sehubungan itu, saya meminta agensi-agensi berkaitan untuk sentiasa menyelaraskan perkongsian maklumat berhubung kualiti udara dan amaran cuaca, di samping memantau perkembangan situasi jerebu serta menilai kesannya terhadap kehidupan harian dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau turut mengingatkan agensi keselamatan supaya sentiasa berwaspada terhadap perkembangan sosiopolitik global dan serantau yang semakin dinamik serta kemungkinan kesannya terhadap ketenteraman awam di Sabah.

Beliau merujuk kepada situasi ketidakpuasan awam dan ketegangan politik di Perancis serta protes di Indonesia berhubung pengurusan isu jerebu yang menimbulkan sentimen tidak puas hati dalam kalangan masyarakat.

Katanya, perkembangan itu wajar dijadikan peringatan bahawa isu kesejahteraan rakyat dan kepimpinan kerajaan boleh mempengaruhi sentimen masyarakat serta kestabilan sosial.

Beliau meminta agensi berkaitan terus memantau perkembangan semasa, termasuk penularan maklumat dan sentimen di media sosial, bagi mengenal pasti sebarang perkara yang berpotensi menjejaskan ketenteraman awam dan keharmonian masyarakat di Sabah.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved