
KUDAT: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengemukakan cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) supaya subsidi diesel diperluas kepada pengusaha feri bagi laluan Kudat-Pulau Banggi susulan pengurangan kekerapan perjalanan akibat peningkatan kos operasi.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata cadangan itu mengambil kira kepentingan perkhidmatan feri berkenaan sebagai pengangkutan utama penduduk Pulau Banggi untuk berhubung dengan Kudat bagi memenuhi keperluan harian.
Beliau berkata, KPDN bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi, Datuk Mohammad Mohamarin, dan agensi kerajaan berkaitan sudah mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua syarikat pengendali feri bagi membincangkan isu pengurangan kekerapan perjalanan.
“Dalam sesi libat urus itu, kedua-dua syarikat pengendali feri mengaitkan pengurangan kekerapan perjalanan dengan peningkatan kos operasi dan kos bahan api diesel.
“Mengambil kira kepentingan perkhidmatan feri sebagai pengangkutan utama yang menghubungkan penduduk antara Kudat dan Pulau Banggi, KPDN sudah mengangkat cadangan kepada Kementerian Kewangan untuk mempertimbangkan perluasan pemberian subsidi diesel kepada pengusaha perkhidmatan feri bagi laluan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Armizan berkata, cadangan itu turut mengambil kira keperluan perkhidmatan feri berkenaan yang lebih tertumpu kepada perhubungan penduduk setempat berbanding aktiviti pelancongan.
Katanya, perkhidmatan itu penting bagi membolehkan penduduk Pulau Banggi menjalankan aktiviti ekonomi dan sosial, mendapatkan akses kepada perkhidmatan asas serta memperoleh bekalan keperluan harian.
Beliau berharap pertimbangan pemberian subsidi itu dapat membantu kedua-dua syarikat pengendali feri meningkatkan semula kekerapan perjalanan bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Perincian mekanisme pelaksanaan akan diumumkan tertakluk kepada persetujuan dan keputusan Kementerian Kewangan,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata KPDN turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi meringankan kos sara hidup penduduk Pulau Banggi, termasuk Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) dan Program Pengedaran Barang Perlu. – UTUSAN
The post KPDN kemuka cadangan subsidi diesel feri Kudat-Pulau Banggi appeared first on Utusan Malaysia.






