Penduduk Kampung Paya lega masalah banjir kilat selesai

LocalEnvironment
27 Jul 2026 • 8:10 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Penduduk Kampung Paya lega masalah banjir kilat selesai

PORT DICKSON – Penduduk Kampung Paya kini menarik nafas lega apabila masalah banjir kilat yang menghantui mereka sejak lebih sedekad lalu semakin reda selepas pelaksanaan projek kolam takungan air tahun lalu.

Peniaga nasi ayam, Nor Arif Ariffin, 52, berkata, perubahan itu amat dirasai penduduk apabila kawasan rumah mereka tidak lagi kerap dinaiki air seperti sebelum ini.

Menurutnya, sebelum projek berkenaan dilaksanakan, hujan lebat sering menyebabkan banjir berlaku dan menjejaskan kehidupan penduduk setempat.

“Dulu kalau hujan lebat memang banjir. Selepas kolam ta­kungan dibuat, memang tidak banjir seperti dahulu.

“Banjir besar pernah berlaku tiga, empat tahun lalu dan penduduk di sini memang berdepan masalah itu sejak tahun 1980-an,” katanya ketika ditemui di Kampung Paya.

Nor Arif berkata, kejadian banjir sebelum ini turut menyebabkan penduduk mengalami kerugian apabila barangan rumah rosak, selain bimbang keadaan sama berulang setiap kali musim hujan.

Bagaimanapun, katanya, ke­adaan kini lebih baik apabila sistem perparitan dan longkang di kawasan berkenaan berfungsi dengan baik.

“Setakat ini kawasan rumah saya tidak ada masalah. Longkang pun berfungsi. Kalau banjir berlaku pun hanya ketika kea­daan luar biasa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perlu terus peka terhadap keperluan penduduk terutama berkaitan isu banjir yang memberi kesan langsung kepada kehidupan ­harian.

“Rakyat mahu masalah selesai. Kalau mahu buat perubahan, jangan terlalu rakus sehingga memberi tekanan kepada mana-mana pihak,” katanya.

Sementara itu, calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Dr. G. Rajasekaran berkata, masalah banjir kilat di Kampung Paya berjaya ditangani hasil usaha yang digerakkan selepas beliau memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

Katanya, projek pembinaan kolam takungan air di kampung berkenaan tahun lalu memberi manfaat kepada kira-kira 6,000 penduduk yang sebelum ini terpaksa berdepan kejadian banjir berulang.

“Sebaik menang pada PRN 2023, saya gerakkan usaha menyelesaikan masalah banjir kilat di Kampung Paya.

“Sepanjang tempoh lebih dua tahun ini juga saya dapat membantu melaksanakan projek menaik taraf pinggir Sungai Kampung Paya sebagai kawasan riadah dan tumpuan pelancong,” katanya.

The post Penduduk Kampung Paya lega masalah banjir kilat selesai appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved