KBS pantau banjir di Nagoya

10 Sep 2026 • 8:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KBS pantau banjir di Nagoya
Mohammed Taufiq. Foto: Bernama

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) terus memantau perkembangan banjir di Nagoya, Jepun bagi memastikan keselamatan kontinjen negara tidak terjejas menjelang Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026.

Menterinya, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, pihaknya sentiasa berhubung dengan kerajaan Jepun dan penganjur temasya untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai keadaan di lokasi.

Katanya, berdasarkan perkembangan semasa, keadaan di Nagoya masih terkawal dan belum menjejaskan persiapan kontinjen Malaysia yang akan beraksi dari 19 September hingga 4 Oktober ini.

“Kita sentiasa berhubung dengan kerajaan di sana dan juga penganjur, tuan rumah untuk memastikan tidak berlaku sebarang kekurangan atau perkara yang mengganggu kontinjen dan atlet kita.

“Baik dari segi penginapan, perjalanan mahupun penganjuran program, kita mendapatkan maklum balas bahawa semuanya dalam keadaan baik dan terkawal,” katanya selepas KBS Tower Run bersama jaguh larian menara dunia dari Malaysia, Soh Wai Ching di Menara KBS, Putrajaya pada Khamis.

Mohammed Taufiq berkata, perkembangan cuaca dan situasi bencana di Nagoya akan terus diperhatikan dari semasa ke semasa berikutan keadaan boleh berubah dalam tempoh singkat.

“Kita mempunyai pasukan untuk memantau setiap keadaan yang berlaku di sana supaya tidak mengganggu sebarang aktiviti.

“Apa yang paling penting adalah keselamatan dan kesihatan atlet kita,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KBS sudah menyediakan SOP berkaitan bencana, khususnya banjir untuk dipatuhi atlet serta anggota kontinjen negara sepanjang berada di Jepun.

“Kita telah pun mengeluarkan SOP bencana, khususnya bencana banjir untuk semua atlet dan kontinjen kita supaya mematuhi SOP tersebut,” katanya.

Beliau berkata, KBS turut mengadakan mesyuarat serta menyediakan pelan tindakan bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya berlaku perubahan keadaan yang boleh memberi kesan kepada kontinjen.

“Walaupun begitu, ia masih dalam keadaan terkawal dan jika ada sebarang perubahan, kita akan maklumkan dari semasa ke semasa.

“Keutamaan kita adalah keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan kontinjen serta atlet kita yang berada di sana,” katanya.

Jepun kelmarin mengeluarkan amaran kecemasan Tahap Lima, iaitu tahap tertinggi, susulan hujan lebat dan banjir yang melanda beberapa kawasan di wilayah Aichi dan Gifu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved