
Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini menunggu keputusan rasmi daripada Kementerian Kewangan (MOF) berhubung permohonan untuk menyambung kontrak promosi Kejuaraan Grand Prix (GP) Motosikal Dunia atau MotoGP Malaysia yang bakal tamat tahun depan.
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, berkata KBS amat mengalu-alukan hasrat untuk memperbaharui kontrak tersebut dan telah mengemukakan maklumat terperinci kepada MOF untuk pertimbangan lanjut.
“Saya sendiri telah bertemu dengan pihak Dorna Sports selaku pemegang hak komersial kejohanan dan menyampaikan hasrat serta sokongan kerajaan untuk meneruskan penganjuran MotoGP di Malaysia.
“Namun, seperti kebiasaan, Kementerian Kewangan memerlukan data lengkap bagi menilai sama ada kos penajaan MotoGP bukan sahaja berbaloi tetapi turut memberi pulangan ekonomi yang signifikan kepada negara,” katanya.
Menurut Hannah, penganjuran MotoGP Malaysia terbukti memberi impak ekonomi yang besar apabila membuka ribuan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan. “Tahun lepas, kira-kira 4,000 individu mendapat manfaat secara langsung daripada penganjuran ini. Tahun ini pula, jualan tiket melebihi 90 peratus, dan pembelian tiket oleh pelancong asing turut meningkat,” ujarnya selepas melakukan lawatan kerja meninjau projek naik taraf Kompleks Sukan Raja Muda bagi pembinaan Akademi Sepaktakraw Malaysia di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Azhan Shafriman Hanif, memaklumkan bahawa pihaknya kini berada di peringkat akhir rundingan bersama Dorna Sports mengenai tempoh kontrak baharu promosi GP Malaysia.
Beliau berkata, butiran lanjut termasuk tempoh kontrak, sama ada lima tahun berturut-turut atau dalam format 3+2, hanya akan diumumkan selepas mendapat kelulusan rasmi.
Penganjuran MotoGP Malaysia 2025 yang berakhir Ahad lalu mencatatkan kehadiran lebih 190,977 penonton sepanjang tiga hari perlumbaan di SIC, sekali gus mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia sebagai destinasi sukan permotoran bertaraf dunia.
The post KBS Tunggu Keputusan Kementerian Kewangan berhubung kontrak MotoGP Malaysia appeared first on TW Media.

