
KOTA MARUDU: Usaha memperkukuh peranan wanita, sukarelawan dan Majlis Komulakan dalam pemeliharaan serta pemerkasaan budaya serta warisan masyarakat terus diperkasa menerusi Penyelarasan Ahli Sukarelawan Majlis Wanita KDCA Kota Marudu pada Jumaat.
Program itu turut menyaksikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan Majlis Komulakan KDCA Kota Marudu sebagai simbol pengiktirafan dan amanah kepada barisan yang dilantik untuk menggalas tanggungjawab memperkukuh peranan Komulakan di peringkat daerah.
Naib Presiden KDCA Pusat merangkap Penyelaras KDCA Kota Marudu Datuk Hendrus Anding, berkata beliau berharap Majlis Wanita, ahli sukarelawannya dan Majlis Komulakan KDCA Kota Marudu dapat terus berganding bahu serta saling memperkukuh dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.
“Saya amat berharap agar mereka dapat berganding bahu, bergerak seiring serta saling memperkukuh antara satu sama lain dalam melaksanakan tanggungjawab memperkasakan budaya dan warisan kita khususnya di daerah Kota Marudu,” katanya.
Beliau berkata kesepaduan dan kerjasama antara semua komponen KDCA di peringkat daerah amat penting bagi memastikan usaha berkaitan kebudayaan dan warisan dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, berterusan dan memberi manfaat kepada masyarakat.
Katanya usaha memelihara budaya dan warisan bukan hanya menjadi tanggungjawab sesebuah pihak sebaliknya memerlukan penglibatan bersama pelbagai lapisan masyarakat termasuk golongan wanita, sukarelawan, pemimpin adat dan generasi muda.
Sehubungan itu beliau berharap barisan yang dilantik dan sukarelawan dapat melaksanakan amanah dengan penuh komitmen, semangat kebersamaan dan rasa tanggungjawab terhadap masyarakat.
Penyelarasan ahli sukarelawan Majlis Wanita itu bertujuan memastikan gerak kerja sukarelawan dapat disusun dengan lebih teratur selain memperkukuh koordinasi dan kerjasama dalam menjayakan pelbagai program kemasyarakatan, kebudayaan serta aktiviti melibatkan wanita di daerah berkenaan.
Dalam masa sama penyerahan watikah pelantikan kepada Majlis Komulakan mencerminkan komitmen berterusan KDCA Kota Marudu untuk memastikan elemen adat, budaya dan warisan terus diberi perhatian serta diperkasa melalui penglibatan masyarakat di peringkat akar umbi.
Pengukuhan Majlis Komulakan KDCA Kota Marudu juga diharap dapat menjadi antara wadah penting dalam memastikan pengetahuan, nilai, adat dan warisan masyarakat terus dihargai serta diwariskan kepada generasi akan datang.
Dengan kerjasama erat antara Majlis Wanita, Majlis Komulakan dan barisan sukarelawan, KDCA Kota Marudu komited untuk terus memperkukuh gerak kerja di peringkat akar umbi demi kelangsungan budaya, adat dan warisan masyarakat di daerah itu.






