Warisan budaya perlu terus diperkasa: Japlin

27 Sep 2026 • 12:15 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Warisan budaya perlu terus diperkasa: Japlin

KOTA KINABALU: Warisan budaya merupakan khazanah tidak ternilai yang perlu terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi baharu bagi memastikan identiti masyarakat pribumi Sabah tidak terhakis ditelan arus kemodenan.

Naib Presiden Persatuan Rumpun Bajau Samah Sabah Datuk Japlin Akim berkata kepesatan pembangunan dan ledakan teknologi digital tidak seharusnya dijadikan alasan untuk masyarakat melupakan asal usul serta warisan budaya.

“Kemajuan teknologi yang pesat juga tidak boleh menyebabkan generasi muda semakin jauh daripada akar budaya, adat resam dan jati diri mereka.

“Kita boleh mengejar pembangunan dan kemajuan tetapi jangan sampai kehilangan identiti sendiri kerana budaya melambangkan siapa kita dan dari mana asal kita.

“Generasi muda perlu menjadi pewaris dan penjaga budaya manakala teknologi harus dimanfaatkan untuk memperkenalkan warisan kita kepada dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri perasmian Borneo Cultural & Heritage Corner sempena Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2026 (PBAKK 2026) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada Jumaat.

Majlis perasmian disempurnakan Presiden Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.

Mengulas lanjut Japlin berkata penganjuran program sedemikian menjadi platform penting untuk mengetengahkan kepelbagaian budaya serta khazanah warisan unik yang dimiliki masyarakat Borneo.

Sehubungan itu beliau menggesa semua pihak supaya memberi perhatian, sokongan dan galakan terhadap usaha merekod serta mendokumentasikan khazanah berkenaan secara lebih sistematik untuk rujukan generasi akan datang.

“Ini sangat penting kerana usaha dokumentasi tidak lain tidak bukan adalah bagi memastikan segala amalan tradisi, kesenian dan nilai murni masyarakat tidak pupus begitu sahaja,” katanya.

Menyentuh mengenai masyarakat Bajau Samah, Japlin berkata komuniti itu turut mempunyai identiti tersendiri yang sarat dengan keunikan serta khazanah budaya yang bernilai.

Katanya warisan tersebut perlu terus dipelihara dan diketengahkan sebagai sebahagian daripada kekayaan identiti negeri Sabah.

“Kita semua perlu tahu dan sedar bahawa perbezaan latar belakang budaya dalam kalangan penduduk Sabah sepatutnya menjadi ejen penyatu, bukannya elemen yang merenggangkan hubungan.

“Kepelbagaian budaya bukan pemisah tetapi kekuatan kita. Pembangunan boleh mengubah wajah negeri dan teknologi mengubah cara hidup tetapi warisan serta budaya menentukan siapa kita,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved