KDN hanya laksana keputusan Lembaga Pengampunan: Saifuddin

LocalPolitics
14 Nov 2026 • 5:49 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: KDN hanya laksana keputusan Lembaga Pengampunan: Saifuddin

Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution berkata KDN hanya agensi pelaksana keputusan Lembaga Pengampunan, termasuk tahanan rumah, dan tidak boleh ulas kelayakan.

LUMUT: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hanya bertindak sebagai agensi pelaksana terhadap sebarang keputusan yang dimuktamadkan oleh Lembaga Pengampunan berhubung status hukuman seseorang banduan, termasuk pelaksanaan kaedah tahanan di rumah.

Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kementeriannya tidak berada pada kedudukan untuk mengulas lanjut, mengenai gesaan pelbagai pihak mengenai kelayakan tahanan rumah, kerana pertimbangan petisyen pengampunan di luar bidang kuasa KDN.

“Jadi, sama ada petisyen pengampunan itu dibincangkan, dipertimbangkan dan dibuat keputusan atau tidak, itu bukan dalam bidang tanggungjawab KDN.

“Tetapi kalau ada keputusan dibuat, tugas kami ialah melaksanakannya. Sama ada hukumannya dikurangkan, dibatalkan, dibebaskan atau diletakkan di rumah, kerja kami ialah melaksanakannya,” katanya kepada pemberita.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program MADANI Kita serta Majlis Penyerahan Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Tahun 2026, di Kampung Sungai Tiram dekat sini hari ini.

Saifuddin Nasution mengulas laporan media berkaitan kenyataan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Datuk Seri Mohamad Sabu baru-baru ini, bahawa kemudahan tahanan rumah tidak seharusnya menjadi keistimewaan golongan tertentu, sebaliknya perlu dipertimbangkan secara saksama kepada semua banduan yang layak.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 6 Nov lepas membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, 73, menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, di ibu negara berkuat kuasa serta-merta hingga 23 Ogos 2028.

Mengulas lanjut daripada sudut perundangan, Saifuddin Nasution berkata hak untuk mengemukakan petisyen pengampunan sentiasa terbuka kepada mana-mana individu, tanpa mengira status atau latar belakang sebaik sahaja selesai melalui semua proses kehakiman di mahkamah.

Beliau berkata petisyen yang dikemukakan banduan ketika menjalani hukuman, akan diangkat untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan pada peringkat Persekutuan, mahupun di hadapan Raja atau Sultan yang memerintah peringkat negeri masing-masing.

“Kalau ada pandangan yang mengatakan bahawa sepatutnya semua diberikan layanan yang sama, dari sudut undang-undang, hak itu sudah pun ada.

“Seperti yang saya katakan tadi, bahagian pertama, siapa sahaja boleh memohon. Sama ada petisyennya dilayan atau tidak, itu perkara lain,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved