
PUTRAJAYA – Proses bagi menyahklasifikasikan dokumen mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan keputusan pengampunan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sedang diatur mengikut undang-undang sedia ada.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, proses itu sedang dilakukan dengan mengambil kira beberapa aspek perundangan yang perlu dipatuhi sebelum sebarang keputusan dibuat.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, Jemaah Menteri turut mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berhubung perkara itu.
“Ia (perkara itu) tidak dibangkitkan secara langsung dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, tapi memang proses itu saya difahamkan sedang diatur.
“Tapi memang hasrat itu ada dan akan melalui proses yang wajib,” katanya pada sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini hari ini.
Semalam, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, beliau akan membawa cadangan menyahklasifikasikan minit mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan berkaitan Najib ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk pertimbangan.
Cadangan itu dikemukakan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang berpandangan pendedahan minit berkenaan dapat memberikan gambaran lebih tepat dan telus mengenai proses serta keputusan yang dibuat oleh Lembaga Pengampunan.
Cadangan itu dibangkitkan susulan polemik berkaitan keputusan pengampunan bersyarat terhadap Najib, termasuk pelaksanaan baki hukuman penjara menerusi tahanan di rumah. – KOSMO! ONLINE
The post Proses nyahklasifikasi dokumen Lembaga Pengampunan Najib sedang diatur appeared first on Kosmo Online.






