
PASIR PUTEH – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengemukakan 17 langkah penambahbaikan keselamatan di lapangan terbang bagi memperkukuh kawalan pergerakan penumpang keluar dan masuk negara.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pelan yang melibatkan kerjasama Kementerian Pengangkutan dibentangkan kepada Jemaah Menteri kira-kira dua minggu lalu akan dilaksanakan melibatkan tiga fasa iaitu jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang.
“Cadangan itu merangkumi aspek keselamatan bagi penumpang ‘outbound’ dan ‘inbound’.
“Ia susulan beberapa kes rakyat Malaysia yang meninggalkan negara sebelum ditahan di negara destinasi,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Penyerahan Projek Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Tok Bali di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Saifuddin memberitahu, penambahbaikan itu membabitkan semua agensi berkaitan termasuk pasukan polis, Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), Jabatan Imigresen, Malaysia Airports Holdings Berhad dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.
“Kita akui ada lagi perkara yang perlu kita tambah baik melibatkan semua agensi termasuk pasukan polis, AKPS, Imigresen yang merupakam agensi di bawah kawalan KDN,” ujarnya.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, pelan penambahbaikan kawalan keselamatan lapangan terbang di negara ini akan dibentang kepada Jemaah Menteri.
Saifuddin berkata, pelan tersebut dijalankan susulan penahanan seorang juruterbang rakyat Malaysia berusia 39 tahun yang ditahan selepas disyaki cuba menyeludup kira-kira 25 kilogram dadah jenis ekstasi dan syabu melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE
The post KDN kemuka 17 langkah perkasa keselamatan lapangan terbang appeared first on Kosmo Digital.





