
BUKIT MERTAJAM : Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menambah baik 12 resolusi atau usul utama yang dibentangkan dalam Kongres Prauniversiti Madani Peringkat Kebangsaan 2026, baru-baru ini.
Menteri Pendidikan, Datuk Seri Fadhlina Sidek berkata, penambahbaikan itu perlu bagi memastikan semua resolusi tersebut dapat dilaksanakan dengan baik.
“Dalam 12 resolusi itu, salah satu yang diangkat oleh perwakilan Tingkatan Enam adalah berkenaan elaun untuk anak-anak Tingkatan Enam.
“Jadi, saya terima sepenuhnya dan kita juga akan tambah baik resolusi itu termasuk mencari jalan bagaimana kita boleh memastikan semua 12 resolusi terbabit dapat dilaksanakan dengan baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Temu Anwar Sempena Ambang Merdeka di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tuanku Bainun di sini, hari ini.
Sementara itu, Fadhlina turut menzahirkan penghargaan beliau kepada pihak IPG atas peranan yang dimainkan oleh institusi berkenaan dalam memantapkan mutu pendidikan negara ketika ini.
“Semua pensyarah di sini terlibat secara tidak langsung dalam memastikan pedagogi guru-guru baharu kita, khususnya untuk menemani kurikulum baharu nanti.
“Ketika ini, IPG sebenarnya telah pun diangkat sebagai tempat atau pun sekolah latihan untuk memberikan sebahagian kepakaran mereka kepada sekolah-sekolah yang berdekatan dengan kampus.
“Jadi, kita menghargai kerja keras IPG dan Bahagian Pembangunan Guru kerana pengisian guru di Malaysia ketika ini telah mencapai angka 98 peratus,” katanya. –UTUSAN
The post KPM sedia tambah baik 12 resolusi dalam Kongres Prauniversiti Madani appeared first on Utusan Malaysia.





