KDN kesal naratif palsu kewarganegaraan ‘borong’ terus dikitar semula

LocalPolitics
19 Aug 2026 • 9:05 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KDN kesal naratif palsu kewarganegaraan ‘borong’ terus dikitar semula
Tular kenyataan palsu terhadap dakwaan memberikan kewarganegaraan secara borong di media sosial. Foto: FB Saifuddin

SHAH ALAM - Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan pemberian kewarganegaraan secara ‘borong’ kepada warga asing, termasuk dakwaan 1.2 juta rakyat China tidak keluar dari Malaysia selepas memasuki negara ini.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dakwaan berkenaan telah beberapa kali dinafikan dan diperjelaskan berdasarkan fakta serta data rasmi sejak tahun lalu.

Menurutnya, tindakan sesetengah pihak yang terus mengitar semula video, poster dan naratif yang telah diperbetulkan hanya bertujuan mengelirukan rakyat selain meniup sentimen perkauman dan kebencian.

"Dakwaan kononnya KDN memberikan kewarganegaraan secara borong kepada warga asing atau dakwaan 1.2 juta rakyat China tidak keluar dari Malaysia adalah tidak benar.

"Perkara ini telah dijelaskan secara rasmi dan fakta mengenainya boleh dirujuk melalui kenyataan saya sendiri serta laporan media,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Saifuddin berkata, penyebaran dakwaan tidak berasas bukan sahaja mencemarkan nama individu atau institusi, malah berpotensi menghakis kepercayaan rakyat terhadap institusi negara.

Tambahnya, penyebaran fitnah itu juga boleh mencetuskan kebencian antara kaum, mengganggu ketenteraman awam dan menjejaskan keselamatan negara.

"Saya mengingatkan semua pihak agar menghentikan penyebaran fitnah dan tidak memperalatkan isu-isu sensitif demi kepentingan politik atau meraih perhatian di media sosial.

"Saya juga menyeru rakyat menyemak kesahihan sesuatu maklumat daripada sumber rasmi sebelum mempercayai atau menyebarkannya," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved