KDN sahkan Zetrix AI tidak lagi terlibat dalam pembaharuan permit pekerja asing

LocalPolitics
28 Jul 2025 • 4:03 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KDN sahkan Zetrix AI tidak lagi terlibat dalam pembaharuan permit pekerja asing

image is not available

28/07/2025 - 16:03

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengesahkan Zetrix AI Bhd tidak lagi terlibat dalam proses pembaharuan permit pekerja asing.

Kontrak antara Zetrix AI Bhd (dahulunya MyEG Services Bhd) dengan kerajaan telah pun tamat dan tidak disambung lagi.

Menurut laporan terbaharu Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), penamatan itu berlaku selepas kerajaan memuktamadkan kontrak baharu selama enam tahun bersama Bestinet Sdn Bhd bagi penggunaan Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS).

Timbalan Setiausaha Bahagian Hal Ehwal Imigresen KDN, Dr Hebat Hisham Mohd Yusoff berkata, pengurusan ZetriX AI telah dimaklumkan mengenai penamatan tersebut.

“Kami telah mengadakan perbincangan dengan syarikat tersebut dan menubuhkan satu jawatankuasa penilaian.

“Melalui jawatankuasa tersebut, keputusan telah dicapai untuk tidak melanjutkan kontrak Zetrix AI,” katanya seperti dipetik dalam laporan itu.

Setakat ini, MyEG yang menukar nama kepada Zetrix AI awal bulan ini belum membuat sebarang pengumuman rasmi mengenai penamatan kontrak tersebut.

Tarikh sebenar keputusan penamatan kontrak itu berkuat kuasa juga tidak dinyatakan dalam laporan PAC.

Hebat Hisham menjelaskan kontrak antara kerajaan dan MyEG disusun dalam format satu tahun dengan pilihan lanjutan setahun lagi.

Namun, selepas penilaian dibuat, kerajaan memutuskan untuk tidak meneruskan lanjutan kontrak tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) KDN, Datuk Makhzan Mahyuddin juga mengesahkan keputusan tersebut telah disampaikan secara rasmi kepada Jabatan Imigresen, yang seterusnya menyalurkan maklumat itu kepada MyEG.

“Kami berharap tiada tindakan undang-undang daripada pihak MyEG kerana kami telah mengikut prosedur yang betul,” katanya semasa prosiding tersebut.

Kontrak konsesi tiga tahun MyEG bagi perkhidmatan berkaitan imigresen sepatutnya tamat pada Mei 2023.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudian memaklumkan telah menerima surat bertarikh 4 Julai 2023 daripada KDN yang mengesahkan Kementerian Kewangan bersetuju secara prinsip untuk menyambung konsesi tersebut.

MyEG kemudiannya mengumumkan kepada Bursa Malaysia yang KDN telah memutuskan untuk menyambung semula perkhidmatan imigresen selama dua tahun.

Sementara itu, Makhzan turut memaklumkan penggunaan FWCMS kini diwajibkan secara eksklusif bagi permohonan ePASS bermula Februari tahun ini.

“Sebelum ini, majikan mempunyai beberapa saluran untuk menghantar permohonan ePASS, termasuk melalui MyEG dan sistem Jabatan Imigresen sendiri.

“Namun, di bawah kontrak baharu ini, semua permohonan perlu dibuat melalui FWCMS tanpa sebarang alternatif lain,” katanya.

Pengaturan eksklusif itu juga menjelaskan mengapa kutipan Bestinet sebelum Februari adalah lebih rendah, kerana ketika itu majikan masih mempunyai pilihan lain, tambahnya.

Laporan PAC juga mendedahkan KDN memaklumkan kepada jawatankuasa berkenaan, sebanyak RM86.3 juta tuntutan daripada Bestinet telah dikemukakan untuk pengesahan setakat 19 Mei 2025.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM12.7 juta telah pun dibayar bagi perkhidmatan antara November 2024 hingga Februari 2025, manakala baki RM73.5 juta yang merangkumi tuntutan bagi bulan Mac dan April 2025 masih dalam proses. - DagangNews.com

featured standard