Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara menerusi kaedah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Sentiasa hormati keputusan pengampunan diraja
Menerusi kenyataan yang dikongsi di media sosial Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, beliau berkata, pihaknya sentiasa menghormati keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan perlu dihormati dan dilaksanakan berdasarkan undang-undang.
“Kementerian Dalam Negeri bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November 2026 yang memerintahkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November 2026 dibatalkan dan diganti dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.
“Yakni tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Hormati juga keputusan AGC
Mengulas kelewatan pelaksanaan sebelum ini, Saifuddin menjelaskan perkara itu berlaku susulan persoalan undang-undang berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat serta kesan perundangan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November lalu.
Walau bagaimanapun, beliau berkata persoalan berkenaan telah diperjelaskan menerusi keputusan Mahkamah Tinggi pada Selasa dan KDN menghormati pendirian Jabatan Peguam Negara (AGC) yang mahu perkara itu diselesaikan melalui proses kehakiman.
“Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya menegaskan bahawa tanggungjawab kementerian dan Jabatan Penjara adalah memastikan setiap keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman dan tahanan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah,” katanya.

Foto: Berita Harian
Dalam pada itu, Saifuddin menyeru semua pihak supaya mengendalikan kes berprofil tinggi berkenaan secara matang dan bertanggungjawab tanpa membiarkan polemik politik menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
Sumber: Facebook Saifuddin Nasution Ismail


![[VIDEO] Najib tiba di Langgak Duta, sambung baki hukuman di rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/e6bdb7b6-beba-40c6-9942-65f3582857d8-1024x683.jpeg)

