KDN sedia laksana tahanan rumah Najib hingga 23 Ogos 2028

LocalPolitics
10 Nov 2026 • 6:59 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: KDN sedia laksana tahanan rumah Najib hingga 23 Ogos 2028
Saifuddin Nasution. Foto Bernama

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kementerian sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong selaras dengan kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan perlu dihormati dan dilaksanakan mengikut undang-undang.

"Kementerian Dalam Negeri bersedia melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 10 November 2026 yang memerintahkan Perintah Pelepasan Atas Pembayaran Denda bertarikh 6 November 2026 dibatalkan dan diganti dengan Perintah Pengampunan Bersyarat.

"Yakni tertuduh hendaklah menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah di No 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta, Kuala Lumpur sehingga 23 Ogos 2028," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Terdahulu, Najib, 73, diperintah menjalani baki hukuman penjara menerusi tahanan rumah di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.

Perkembangan itu menyusul selepas Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa, membatalkan perintah pelepasan Jumaat lalu dan menggantikannya dengan perintah pelepasan baharu terhadap bekas Presiden UMNO itu.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin membuat keputusan berkenaan selepas mendengar permohonan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji semula perintah pelepasan yang dikeluarkan pada 6 November lalu dan mendapatkan perintah pelepasan baharu.

Mengulas kelewatan pelaksanaan sebelum ini, Saifuddin berkata, ia berlaku berikutan terdapat persoalan undang-undang berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perundangan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November.

Beliau berkata, persoalan berkenaan khususnya melibatkan pelaksanaan baki hukuman melalui kaedah tahanan rumah dan telah diperjelaskan menerusi keputusan Mahkamah Tinggi pada Selasa.

Sehubungan itu, katanya, KDN menghormati pendirian Jabatan Peguam Negara bahawa persoalan berkenaan perlu diperjelaskan melalui proses kehakiman bagi memastikan setiap tindakan kerajaan mempunyai asas perundangan yang jelas, teratur dan sah.

"Sebagai Menteri Dalam Negeri, saya menegaskan bahawa tanggungjawab kementerian dan Jabatan Penjara adalah memastikan setiap keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman dan tahanan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah," katanya.

Dalam pada itu, Saifuddin berkata, kes berkenaan merupakan kes berprofil tinggi yang mempunyai implikasi politik dan persepsi awam yang besar.

Justeru, beliau menyeru semua pihak mengendalikan perkara itu secara matang dan bertanggungjawab tanpa membiarkan polemik politik menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.

Beliau turut menegaskan kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan dan peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam kerangka Raja Berperlembagaan, selain menjunjung keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kebebasan badan kehakiman.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved