
PUTRAJAYA- Kementerian Dalam Negeri (KDN) bersedia melaksanakan keputusan diputuskan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang memerintahkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara enam tahun secara tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, pihaknya sentiasa menghormati dan menjunjung tinggi keputusan pengampunan diraja yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selaras dengan kuasa di bawah Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Setiap keputusan yang dibuat melalui saluran perlembagaan hendaklah dihormati dan dilaksanakan menurut undang-
undang.
“Kelewatan pelaksanaan sebelum ini berlaku berikutan terdapat persoalan undang-undang berkaitan tafsiran Perintah Pengampunan Bersyarat dan kesan perundangan Perintah Pelepasan bertarikh 6 November 2026, khususnya mengenai pelaksanaan baki hukuman melalui tahanan rumah,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Bagaimanapun, kata beliau, keputusan Mahkamah Tinggi pada hari ini telah menjelaskan persoalan tersebut.
“Sehubungan itu, KDN menghormati pendirian Jabatan Peguam Negara bahawa persoalan tersebut perlu diperjelaskan melalui proses
kehakiman.
“Pendekatan ini penting bagi memastikan setiap tindakan kerajaan mempunyai asas perundangan yang jelas, teratur dan sah,” katanya.
Jelasnya, sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau menegaskan bahawa
tanggungjawab kementerian dan Jabatan Penjara adalah memastikan setiap keputusan berkaitan pelaksanaan hukuman dan tahanan dilaksanakan berdasarkan undang-undang serta arahan mahkamah yang sah.
“Kes ini merupakan kes berprofil tinggi yang mempunyai implikasi politik dan persepsi awam yang besar. Justeru, semua pihak perlu mengendalikan perkara ini dengan matang dan bertanggungjawab, tanpa membiarkan polemik
politik menjejaskan keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
“Kerajaan akan terus mempertahankan kedudukan dan peranan institusi Raja-Raja Melayu dalam kerangka Raja Berperlembagaan, di samping
menjunjung keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan kebebasan badan kehakiman.
“Prinsip-prinsip ini saling melengkapi dan merupakan asas kestabilan negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post KDN sedia laksana perintah tahanan rumah Najib appeared first on Kosmo Online.




![[VIDEO] Najib tiba di Langgak Duta, sambung baki hukuman di rumah](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/e6bdb7b6-beba-40c6-9942-65f3582857d8-1024x683.jpeg)
