KDN terajui fungsi pengurusan pekerja asing

LocalPolitics
5 Jan 2023 • 7:28 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Saifuddin Nasution (kiri) bersama V. Sivakumar ketika sidang media selepas mempengerusikan bersama Mesyuarat Khas Jawatankuasa Bersama antara Menteri Dalam Negeri dan Menteri Sumber Manusia di sini hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Fungsi pengurusan pekerja asing di Malaysia akan diterajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam masa terdekat.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, langkah tersebut dibuat selaras dengan penjajaran semula fungsi pengurusan pekerja asing.

"Perubahan dasar ini dijangka akan bermula pada 15 Januari ini," katanya.

Menurutnya, peranan Kementerian Sumber Manusia (KSM) dalam aspek dasar perburuhan terus diperkukuhkan.

"KSM kekal berperanan mengenalpasti negara sumber dan mengadakan perjanjian serta mengendalikan kuota yang diperlukan," katanya.

Beliau berkata, penjajaran semula fungsi pengurusan pekerja asing tidak akan menjejaskan tata cara dan carta alir permohonan penggajian pekerja asing sedia ada memandangkan fokus penjajaran adalah terhadap tata kelola pengurusan pekerja asing.

"Para pemegang taruh seperti majikan, industri, persatuan serta pekerja asing tidak perlu khuatir," katanya menerusi sidang akhbar selepas mesyuarat khas jawatankuasa bersama kementeriannya dan KSM mengenai pengurusan pekerja asing, di sini pada Khamis.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar.

Jelas Saifuddin, dengan penjajaran semula fungsi itu, hampir keseluruhan proses pengurusan pengambilan pekerja asing diletakkan di bawah kuasa dan kawal selia KDN.

"Ini bermaksud tiga per empat daripada proses pengurusan iaitu permohonan majikan sehinggalah pekerja dibawa masuk diletakkan di bawah KDN," katanya.

Beliau berkata, mesyuarat turut bersetuju dengan cadangan kelonggaran syarat dan prosedur permohonan kuota pekerja asing kepada tahap yang paling optimum bagi mengimbangkan antara keperluan pembangunan ekonomi dengan kepentingan keselamatan negara.

"Antara lain, kelonggaran ini akan merangkumi usaha berterusan untuk memudah cara penilaian kelayakan untuk menggaji pekerja asing, penelitian terhadap syarat kelulusan kuota dan proses keimigresenan serta tapisan keselamatan.

“Kita harap penjajaran ini akan membuatkan proses pengambilan pekerja asing dilaksanakan kurang 30 hari. Kita lihat ruang untuk tempoh itu dipendekkan,” katanya.

Ujar beliau, perincian terhadap perkara itu akan dimaklumkan kepada semua pemegang taruh dari semasa ke semasa kelak.

Saifuddin berkata, kemasukan pekerja asing itu dijangka akan memberikan kesan positif kepada ekonomi negara.

"Prospek ekonomi bagi suku pertama tahun 2023 boleh meningkat sebanyak satu peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sekiranya kemasukan pekerja asing dipercepatkan untuk memenuhi keperluan sektor-sektor berkaitan," katanya.

Sehingga 31 Disember lalu, terdapat 1,459,196 pekerja asing memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Malaysia dengan sektor perkilangan mencatatkan jumlah pekerja asing paling tinggi iaitu 538,148 orang diikuti sektor pembinaan (315,932) dan perkhidmatan (221,621).

Tiga negara tertinggi pekerja asing di Malaysia adalah Bangladesh, Indonesia dan Nepal.

Pada tahun 2022, kerajaan telah meluluskan 676,070 kuota pekerja asing daripada 1,606,724 permohonan.

Sejumlah 635,234 kuota telah dibayar levi.