KDN tidak ‘langgar’ perlembagaan negara

LocalFootball
17 Oct 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: KDN tidak ‘langgar’ perlembagaan negara

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) sekali lagi mempertahankan keputusan memberikan kewarganegaraan kepada tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang kini sedang digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menjelaskan, segala proses pemberian warganegara oleh KDN dibuat mengikut undang-undang dan perlembagaan negara ini.

“Mereka memohon untuk menjadi warganegara, itu satu. Itu di bawah Perlembagaan Persekutuan, di bawah Kementerian Dalam Negeri. Dia ada Perlembagaan, dia ada akta, kalau keputusan dibuat mengikut Perlembagaan negara dan mengikut Akta, kalau betul kata betul, kalau salah kata salah.

“Bahagian kedua adalah kela­yakan pemain itu untuk menjadi pemain Malaysia, dia kena daftar dengan FIFA. Itu ikut FIFA’s Charter, piagam atau undang-undang FIFA. Itu bukan di bawah KDN, itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

“Boleh atau tidak warga asing sepenuhnya memohon menjadi warganegara Malaysia? Mengikut Perlembagaan Persekutuan, boleh, bukan Saifuddin yang kata boleh.

“Kalau Perlembagaan Persekutuan kata boleh, Saifuddin sebagai Menteri buat mengikut Perlembagaan Persekutuan, benda itu jangan dikatakan salah,” katanya yang dipetik menerusi Townhall Madani Bersama Menteri Dalam Negeri.

Isu pemain warisan mencetuskan topik hangat dalam kalangan peminat bola sepak tempatan dan kumpulan Ultras Malaya juga cukup konsisten membangkitkan hal ini.

Sebagai rekod, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengekalkan hukuman penggantungan selama 12 bulan kepada tujuh pemain warisan, Facundo Tomas Garces Rattaro, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figuei­redo, Gabriel Felipe Arrocha, Jon Irazabal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano.

CAS mengesahkan rayuan yang dikemukakan secara bersama oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ditolak dan keputusan FIFA untuk mendenda CHF 350,000 kepada FAM kekal.

The post KDN tidak ‘langgar’ perlembagaan negara appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved