KDN bangunkan sistem kawalan sempadan berasaskan AI, analitik data

LocalTechnology
12 Oct 2026 • 1:09 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KDN bangunkan sistem kawalan sempadan berasaskan AI, analitik data Image from: KDN bangunkan sistem kawalan sempadan berasaskan AI, analitik data sarah12/10/2026 - 13:09 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Okt - Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang membangunkan Sistem Kawalan Sempadan Negara (SKSN) berasaskan kecerdasan buatan (AI) dan analitik data bagi memperkukuh keselamatan sempadan darat serta maritim Malaysia.

 

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah berkata, sistem itu membolehkan pengawasan berterusan sepanjang masa, operasi tanpa pengawasan secara langsung serta penyebaran maklumat dengan pantas secara masa nyata.

 

Beliau berkata, pembangunan SKSN merupakan antara strategi di bawah Pelan Induk Kawalan Keselamatan Sempadan KDN 2026-2030 yang dilancarkan pada 8 Januari 2026.

 

“SKSN akan dilengkapi sistem pengawasan terkini berasaskan teknologi AI dan analitik data bagi membolehkan operasi dilaksanakan tanpa pengawasan, penyebaran maklumat secara pantas dengan masa sebenar serta pengawasan sepanjang masa secara berterusan,” katanya ketika menjawab soalan di Dewan Rakyat.

 

Menurutnya, pelan induk itu menjadi kerangka dasar strategik bagi menangani cabaran keselamatan sempadan secara menyeluruh dan sistematik melalui pengukuhan mekanisme kawalan sedia ada serta pemantapan penguatkuasaan.

 

Pelaksanaannya memberi tumpuan kepada dua strategi utama, iaitu memperkukuh operasi kawalan keselamatan sempadan dan memperkasa kapasiti kawalan sempadan negara.

 

Antara langkah dirancang termasuk mempertingkat kerjasama operasi antara agensi menerusi risikan, rondaan, pemantauan dan operasi bersepadu, selain memperkukuh kerjasama dengan negara jiran.

 

Kerajaan turut merancang pembinaan infrastruktur keselamatan sempadan, termasuk pos kawalan, jeti dan pangkalan operasi hadapan ('Forward Operation Base'), selain mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) tunggal bagi menyeragamkan penguatkuasaan undang-undang dan kawalan keselamatan.

 

klia

 

Pelan Tindakan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan KLIA

Dalam perkembangan berkaitan, Shamsul Anuar berkata, Pelan Tindakan Penambahbaikan dan Mitigasi Keselamatan bagi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta pintu masuk antarabangsa negara mengandungi 17 syor dan kini memasuki bulan kedua pelaksanaan selepas diluluskan Jemaah Menteri pada 19 Ogos 2026.

 

Fasa pertama selama enam bulan memberi tumpuan kepada penutupan kelompongan keselamatan kritikal menggunakan kuasa, perjawatan, aset dan sistem sedia ada tanpa melibatkan implikasi kewangan besar. Saringan fizikal dan pemeriksaan bagasi 100% bagi penerbangan berisiko tinggi telah dilaksanakan sejak 10 Ogos 2026 bagi laluan Indonesia, sebelum diperluas secara bersasar ke destinasi berisiko lain termasuk London dan Paris.

 

Bagi kawalan akses, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) telah mengeluarkan arahan memendekkan tempoh sah laku e-Vetting daripada lima tahun kepada dua tahun bagi pemegang pas keselamatan kawasan terhad. Pada masa sama, Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) sedang mengenal pasti mekanisme terbaik bagi kawalan pas harian dan pematuhan prinsip akses minimum.

 

CAAM turut mengeluarkan Arahan Keselamatan SD 02/2026 pada 7 Ogos 2026 bagi melaksanakan saringan dadah pra-pengambilan, berkala dan rawak terhadap juruterbang, kru kabin serta kakitangan pengendali darat, dengan sokongan penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

 

Kawalan keselamatan di KLIA juga dipertingkat melalui penugasan Batalion 19 Pasukan Gerakan Am (PGA) PDRM yang memulakan rondaan dan kawalan di Terminal 1 dan Terminal 2 sejak 10 Ogos 2026. Penyelarasan risikan antara Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia serta agensi berkaitan turut diperkemas bagi mempercepat perkongsian maklumat ancaman.

 

Bagi Fasa 2, persediaan merangkumi penilaian spesifikasi teknikal mesin pengimbas bagasi untuk mengesan dadah, penyediaan infrastruktur bagi penempatan 10 unit pengimbas badan 360 darjah serta pengujian teknologi kamera litar tertutup (CCTV) dengan analitik AI. Penempatan statik unit anjing pengesan (K9) PDRM dan Kastam di kawasan pengasingan bagasi turut dirancang.

 

Sementara itu, lima syor Fasa 3 meliputi transformasi Pusat Kawalan Imigresen Malaysia (NICC) sebagai pusat analisis risiko nasional, pemodenan kitar hayat aset, penyusunan semula ruang terminal bagi mengasingkan aliran ketibaan dan pelepasan serta pemantapan tadbir urus keselamatan negara.

 

Kerajaan juga merancang memperluas pelan tindakan berkenaan secara berperingkat ke semua pintu masuk udara, darat dan laut di seluruh negara. Shamsul Anuar berkata, KDN dan Kementerian Pengangkutan komited memastikan setiap fasa dilaksanakan secara teratur bagi memperkukuh keselamatan serta imej Malaysia di semua pintu masuk antarabangsa. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved