
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Kanada mencatatkan pertumbuhan mendatar (0.0%) pada bulan Julai, menepati jangkaan penganalisis pasaran dan menandakan permulaan perlahan bagi suku ketiga selepas mencatatkan trajektori pengembangan kukuh pada suku sebelumnya. Prestasi ini menamatkan rekod pertumbuhan positif selama tiga bulan berturut-turut, di samping hadir tepat pada saat genting sebelum ekonomi negara itu dihimpit gelombang tarif baharu daripada Amerika Syarikat (A.S.) pada Ogos lalu.
Berdasarkan data rasmi Statistics Canada (StatsCan) pada hari Selasa, kedua-dua komponen pengeluaran barangan dan perkhidmatan sebahagian besarnya tidak mencatatkan perubahan ketara. Sektor pengeluaran barangan yang membentuk satu perempat daripada saiz ekonomi negara terkesan oleh penguncupan 0.9% dalam sektor pembuatan. Ini merupakan penurunan pertama dalam tempoh empat bulan susulan kejatuhan mendadak 6.2% dalam aktiviti penapisan petroleum, di samping penyusutan 0.5% dalam industri perlombongan dan pengekstrakan minyak serta gas.
Walau bagaimanapun, kejatuhan segmen pembuatan dan tenaga berjaya diimbangi oleh daya tahan sektor utiliti yang melonjak 1.7% serta industri pembinaan yang mengukuh 1.3%. Sektor pembinaan mencatat momentum positif dengan merekodkan pengembangan bagi bulan keempat berturut-turut, sekali gus bertindak sebagai benteng utama yang mengelakkan ekonomi daripada terjerumus ke zon penguncupan negatif.
Bagi sektor perkhidmatan, aktiviti pengguna memperlihatkan kelemahan ketara apabila perdagangan runcit menguncup 1.0% manakala perdagangan borong susut 0.4%, merosot daripada kedudukannya sebagai pemacu utama pada Jun. Sebaliknya, segmen perkhidmatan profesional, saintifik, dan teknikal meningkat 0.3% dengan catatan terbaik dalam tempoh 20 bulan. Manakala sektor hartanah dan pajakan yang berkembang 0.2% untuk meneruskan fasa pemulihan enam bulan tanpa henti.
Meskipun permulaan suku ketiga agak lesu, StatsCan mengeluarkan unjuran awal yang menjangkakan KDNK Kanada melantun semula sebanyak 0.2% pada bulan Ogos, disokong oleh pemulihan output perlombongan dan jualan runcit. Unjuran ini memberi kelegaan sementara kepada Bank of Canada yang sebelum ini meletakkan sasaran pertumbuhan tahunan sebanyak 1.5% bagi suku ketiga, tatkala para penggubal dasar bersiap sedia menilai kesan sebenar sekatan perdagangan Washington ke atas aktiviti ekonomi domestik.






