hamden17/09/2026 - 16:24 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Sept – Walaupun Malaysia mencatatkan pertumbuhan ekonomi sebanyak 6% pada suku kedua 2026 dan ringgit terus mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), majoriti rakyat masih belum merasakan perubahan positif terhadap kedudukan kewangan mereka.
Dapatan tinjauan terbaharu UCSI Poll Research Centre menunjukkan 72% daripada 1,500 responden berkata harga barangan hanya turun sedikit atau tidak menunjukkan sebarang penurunan.
Dapatan itu menunjukkan perkembangan positif ekonomi negara masih belum dirasai secara langsung oleh pengguna, khususnya ketika berbelanja.
Pada masa sama, sebanyak 64% responden berkata pendapatan mereka tidak meningkat seiring dengan kos sara hidup, manakala hanya 10% merasakan pendapatan mereka meningkat lebih tinggi berbanding perbelanjaan.
Dari segi keadaan kewangan, 38% responden berkata kedudukan kewangan mereka semakin teruk, berbanding 20% yang melaporkan keadaan lebih baik.
Sebanyak 42% pula berkata keadaan kewangan mereka tidak banyak berubah.

Adakah rakyat benar-benar merasai peningkatan itu?
Pengarah UCSI Poll Research Centre, Prof Dr Eugene Aw Cheng Xi berkata persoalan utama bukan sama ada petunjuk ekonomi Malaysia semakin baik, tetapi sama ada peningkatan itu benar-benar dirasai oleh rakyat.
“Walaupun terdapat faktor lain yang perlu dipertimbangkan, termasuk harga yang mengambil masa untuk berubah, pengguna lazimnya menjangkakan ringgit yang lebih kukuh akan membawa kepada harga barangan import yang lebih rendah.
“Begitu juga, apabila ekonomi berkembang, mereka menjangkakan kuasa beli meningkat dan keadaan kewangan menjadi lebih kukuh,” katanya.
Sementara itu, kebimbangan terhadap kemungkinan kenaikan harga susulan peningkatan gaji minimum turut ketara dalam kalangan responden.
Sebanyak 44% responden sangat bimbang pelaksanaan gaji minimum RM1,700 akan menyebabkan harga barangan runcit meningkat, manakala 42% lagi agak bimbang mengenai kesan tersebut.
Hala Tuju Negara
Tinjauan sama turut menilai pandangan rakyat terhadap hala tuju negara.
Sebanyak 46% responden percaya Malaysia sedang menuju ke arah yang betul, manakala 44% berpandangan sebaliknya dan baki 10% tidak pasti.
Dapatan itu menunjukkan pandangan rakyat mengenai hala tuju negara masih terbahagi hampir sama rata meskipun Malaysia terus mencatatkan prestasi ekonomi yang positif.
Dalam soal pengurusan ekonomi negara oleh kerajaan pula, sebanyak 34% responden berkata mereka yakin terhadap Perdana Menteri dan Jemaah Menteri dalam menguruskan ekonomi.
Sebanyak 24% tidak yakin, manakala 42% mengambil pendirian berkecuali. - DagangNews.com





