KDNK Perak cecah RM86.2 bilion, sektor pembuatan sumbang 19.4% pada 2024

LocalBusiness & Finance
4 Sep 2025 • 12:26 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KDNK Perak cecah RM86.2 bilion, sektor pembuatan sumbang 19.4% pada 2024

image is not available

04/09/2025 - 12:26

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 4 Sept – Perak terus melakar prestasi positif apabila mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 4.4% dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) mencecah RM86.2 bilion pada tahun 2024.

Sektor pembuatan kekal menjadi pemacu utama, menyumbang 19.4% kepada KDNK negeri dengan pertumbuhan 5.1%, sekali gus mengekalkan kedudukan Perak sebagai antara hab perindustrian penting di Malaysia.

Selain itu, eksport Perak semakin kukuh meliputi barangan elektrik dan elektronik (E\&E), automotif, mineral, minyak sawit serta makanan berproses, mencerminkan daya saing yang mampan di pasaran global.

Prestasi pasaran buruh negeri turut memberangsangkan apabila kadar pengangguran menurun kepada 3.6%, manakala kadar penyertaan tenaga buruh meningkat kepada 66.56%.

Semua pencapaian ini didorong oleh sinergi erat antara kerajaan negeri, sektor industri dan sokongan rakyat yang berterusan dalam memperkukuh asas ekonomi Perak.

image is not available

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pencapaian tersebut membuktikan keberkesanan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan sektor industri, termasuk Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Perak.

“Setinggi-tinggi penghargaan khusus saya tujukan kepada FMM yang bukan sahaja memberikan pandangan bernas mengenai perkembangan industri, malah turut menjadi rakan strategik dalam memperteguhkan dasar serta memperkukuh daya saing ekonomi negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap meraikan ulang tahun ke-57 FMM Perak di Casuarina Meru, Ipoh, malam tadi.

Menurut beliau, sokongan daripada FMM Perak membantu kerajaan negeri merangka strategi lebih berkesan untuk melonjakkan pertumbuhan industri di samping meningkatkan keyakinan pelabur.

“Di bawah Pelan Perak Sejahtera 2030, negeri Perak komited memperkukuh infrastruktur, melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta menarik lebih banyak pelaburan berimpak besar,” tambahnya.

Beliau menegaskan bahawa dengan komitmen berterusan dan kerjasama erat pelbagai pihak, Perak berpotensi menjadi model negeri industri moden, lestari dan berdaya saing di rantau ini.

“Insya-Allah, dengan usaha bersepadu, Perak akan terus mara sebagai negeri yang makmur serta mampu menjadi pilihan pelabur dalam dan luar negara,” katanya. - DagangNews.com

standard