Kerajaan sasar 10 syarikat tempatan jana pendapatan AS$1 bilion setahun melalui Strategi Semikonduktor Nasional - MITI

LocalTechnology
3 Sep 2025 • 10:47 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan sasar 10 syarikat tempatan jana pendapatan AS$1 bilion setahun melalui Strategi Semikonduktor Nasional - MITI

image is not available

03/09/2025 - 10:47

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 3 Sept – Kerajaan menetapkan sasaran untuk melahirkan 10 syarikat tempatan dalam reka bentuk dan pembungkusan termaju yang mampu menjana pendapatan tahunan AS$1 bilion di bawah kerangka Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, dasar itu juga menyasarkan sekurang-kurangnya 100 syarikat tempatan dalam ekosistem semikonduktor mencapai pendapatan tahunan RM1 bilion, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing.

Beliau berkata, dasar baharu itu penting kerana syarikat tempatan kini sudah menunjukkan keupayaan untuk muncul sebagai syarikat teknologi multinasional (MNC) dalam rantaian bekalan global.

“Malaysia mempunyai kelebihan strategik sebagai hab semikonduktor rantau ini, khususnya dalam aktiviti pengujian dan pembungkusan (OSAT).

“Faktor tarikan utama termasuk lokasi strategik, infrastruktur lengkap serta kemahiran tenaga kerja.

“Dahulu, syarikat tempatan hanya berperanan sebagai vendor kepada syarikat asing. Kini, melalui NSS, kita mahu syarikat Malaysia menjadi pemain utama dengan teknologi termaju,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Senator Mohd Hasbie Muda yang meminta penjelasan usaha kerajaan dalam memperkasa syarikat semikonduktor tempatan untuk mengurangkan kebergantungan terhadap syarikat asing di Dewan Negara hari ini.

image is not available

Pencapaian NSS Setakat 2024–2025

Tambahnya, sejak dilaksanakan pada awal 2024 hingga suku pertama 2025, NSS telah merekodkan beberapa pencapaian termasuk melatih 4,557 jurutera & tenaga teknikal.

Beliau berkata, lebih 23,000 peluang pekerjaan berpotensi dikenal pasti dengan pelaburan bernilai RM52 bilion dicatatkan (RM2.1 bilion pelaburan domestik, RM49.9 bilion pelaburan asing) sepanjang tempoh tersebut.

“Lima syarikat reka bentuk litar bersepadu (IC design) tempatan ditubuhkan dan kementerian melalui MIDA turut mengenal pasti syarikat tempatan berpotensi dalam keseluruhan rantaian bekalan.

“Ini termasuk daripada bahan kimia, pembuatan mesin, pemasangan, pengujian hingga reka bentuk cip bagi mengukuhkan ekosistem negara,” katanya.

Beliau berkata, NSS adalah tonggak dasar untuk memastikan Malaysia terus kekal sebagai “indispensable middle” dalam rantaian bekalan global industri semikonduktor.

“Dengan dasar ini, Malaysia bukan sahaja menarik pelaburan asing bernilai tinggi, malah membina kekuatan syarikat tempatan untuk berdiri sama tinggi di pentas global," katanya. - DagangNews.com

standard