Ke mana dan sejauh mana kerjasama UMNO-Pas?

LocalPolitics
20 Sep 2026 • 9:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Ke mana dan sejauh mana kerjasama UMNO-Pas?

KERJASAMA baharu UMNO dan Pas berpotensi mengubah landskap politik Melayu-Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), namun persefahaman itu bukan sekadar soal duduk semeja dan membahagikan kerusi.

Profesor Kehormat (Sains Politik), Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, kedua-dua parti perlu mengetepikan ego politik, mengakui kekuatan masing-masing serta mencapai formula pembahagian kerusi yang dipersetujui bersama, terutama di kawasan dan negeri yang menjadi kubu tradisi kedua-dua parti.

Dalam wawancara bersama wartawan Kosmo! Ahad, Rasdan Ahmad, beliau berkata, kedudukan UMNO dan Pas yang kini lebih seimbang turut menjadikan soal siapa yang bakal menjadi ‘abang besar’ dalam sebarang gabungan sebagai cabaran utama.

Katanya, jika kerjasama itu mahu ­diterjemahkan kepada gabungan politik yang kukuh sehingga PRU16, UMNO dan Pas bukan sahaja perlu mencapai kompromi di peringkat kepimpinan, malah mesti merapatkan kembali hubungan akar umbi selepas berdekad-dekad bersaing dan berkonflik.

Selain itu, kedua-dua pihak perlu membuktikan mereka mampu menawarkan kepimpinan yang diyakini dalam sebuah negara majmuk.

KOSMO! AHAD: Apakah signifikan politik kerjasama baharu antara UMNO dan Pas ini, dan adakah ia menandakan perubahan besar dalam landskap po­litik Melayu-Islam menje­lang PRU akan datang?
AHMAD FAUZI: Kerjasama antara UMNO dan Pas se­memang­nya sentiasa dinanti-nan­tikan oleh idealis agama dan nasionalis Melayu kerana ia ber­tepatan dengan apa yang difahami sebagai kehendak Allah SWT.
Allah berfirman dalam Surah Ali Imran ayat 103 yang bermaksud: ‘Berpegang teguhlah kamu semuanya pada tali (agama) Allah, janganlah bercerai-berai.

Ia juga sesuai dengan retorik nasionalis tentang ke­satuan umat Melayu yang dihujahkan mesti mendahului kesatuan nasional merentasi etnik, budaya dan agama berbeza.

Ini kerana masyarakat Melayu membentuk majoriti dalam negara ini dan status Bumiputera diperakui menurut Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan: ‘153. (1) Menjadi tanggungjawab Yang di-Pertuan Agong untuk melin­dungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain mengikut peruntukan Perkara ini.

Adakah kerjasama ini benar-benar berasaskan strategi jangka panjang atau lebih kepada usaha kedua-dua parti menghadapi kekuatan gabu­ngan lain seperti Pakatan Ha­rapan (PH) dan Bersatu?
Kedua-duanya. Eksperimen di Johor dan Negeri Sembilan benar-benar membuktikan bahawa model Barisan Nasional (BN)-Perikatan Nasional (PN) membuahkan kejayaan, dengan persefahaman politik itu me­rampas Negeri Sembilan daripada PH.

Jadi apa salahnya ia dite­ruskan untuk jangka masa lebih panjang, terutamanya di negeri-negeri Pantai Barat lain yang dikuasai PH seperti Selangor atau di mana PH wujud sebagai komponen kerajaan seperti di Perak.

Ketidaksukaan kepada PH ini didorong oleh agenda kesatuan Melayu, kerana retorika politik Melayu-Islam terkini menggambarkan PH sebagai pakatan politik yang didominasi bukan ­Melayu khasnya daripada DAP.

Sejauh mana UMNO dan Pas mampu mengetepikan sejarah persaingan serta konflik politik antara kedua-dua parti bagi memastikan kerjasama ini bertahan?
Inilah persoalan terbesar persefahaman politik terkini UMNO-Pas ini.

Sepanjang sejarah persaingan mereka yang panjang, UMNO selalunya berada di hadapan Pas dalam konteks kerusi Parlimen dan undi popular dimenanginya.

Tapi situasi ini berubah mendadak pada 2022, apabila UMNO hanya mampu memenangi 26 kerusi (BN menang 30) diban­dingkan dengan Pas yang me­nguasai 43 kerusi, (PN) menang 74.

Dari segi undi popular, walaupun UMNO mengatasi Pas 16.26 peratus berbanding Pas 15.24 peratus, tetapi gabungan PN yang dianggotai Pas jauh mengatasi gabungan BN yang dianggotai UMNO (30.23 peratus berbanding 22.16 peratus).

Dalam keadaan sedemikian, masakan Pas berpuas hati de­ngan posisi sekunder di belakang UMNO dalam sebuah gabungan.

UMNO pula, berdasarkan seja­rahnya dan egonya berdepan de­ngan Pas yang asalnya cuma parti serpihan UMNO, juga tidak rela berkompromi menghadiahkan Pas peranan dominan dalam sebarang gabungan kerjasama akan datang.

Sebab itu rundingan segera perlu dilakukan, terma dan sya­rat perlu diperhalusi dan kekuatan dan kelemahan UMNO dan Pas masing-masing dibentangkan untuk tujuan mensinergikan ke­upayaan bersama.

Isu paling sensitif ialah pembahagian kerusi. Bagaimana UMNO dan Pas boleh menentukan siapa bertanding di sesuatu kawasan tanpa berlaku pe­rebutan, khususnya di kerusi yang pernah dimenangi atau ditandingi kedua-dua parti?
Ia bergantung kepada prinsip apa yang dipegang dalam pembahagian kerusi.

Contohnya, berdasarkan ke­nyataan Menteri Besar Melaka yang mahu UMNO mempertahankan semua kerusi dipegang di negeri itu, UMNO mungkin ingin berpegang kepada prinsip ­penyandang (incumbent).

Namun UMNO perlu ingat, jika begitu keadaannya, tiada harapanlah untuk UMNO mendapatkan balik kerusi-kerusi Parlimen di Terengganu, Kedah dan Perlis.

Negeri-negeri yang pernah BN perintah dalam masa cukup la­ma. Jika kepentingan parti sen­di­ri didahulukan dalam pro­ses run­dingan, pasti rundingan akan menemui jalan buntu dan kerjasama ini akan musnah.

Eksperimen Johor dan Ne­ge­ri Sembilan berjaya kerana Pas sanggup berkompromi dan menerima kenyataan dominasi UMNO di negeri-negeri itu.

Jika berlaku pertindihan tun­­tutan kerusi, apakah for­mu­la paling munasabah untuk menentukan calon UMNO atau Pas berdasarkan keputusan PRU lalu, kekuatan akar umbi, penyandang atau potensi kemenangan?

Jika berdasarkan keputusan PRU lalu, inilah prinsip penyandang yang dinyatakan di atas.

Namun pertindihan tuntutan kerusi perlulah dirundingi dengan mengambil kira faktor-faktor lain juga seperti kekuatan akar umbi, potensi kemenangan dan personaliti calon.

Strategis-strategis UMNO dan Pas perlu duduk semeja mengga­riskan formula ‘menang-menang’ yang perlu dipatuhi oleh kedua-dua pihak dalam menga­gihkan kerusi yang ditandingi.

UMNO perlu bertanya diri sen­diri, adakah mereka sanggup berketuakan Perdana Menteri da­ripada Pas jika ditakdirkan ga­bungan kerjasama ini menang dan Pas sekali lagi terbukti lebih kuat sokongannya dalam negara dan lebih banyak kerusi Parlimen berbanding UMNO.

Bagaimana kerjasama ini akan diterjemahkan di negeri-negeri yang ditadbir UMNO dan Pas? Adakah kita akan melihat bentuk kerjasama yang berbeza di Kelantan, Terengganu, Kedah, Johor, Negeri Sembilan dan negeri-negeri lain.

Sebagaimana kita lihat di Ne­geri Sembilan dan Johor, prinsip penyandang digunakan di ne­geri-negeri yang teras kekuatan sokongan Melayu-Muslim dipegang oleh UMNO.

Kita belum lihat model ini diuji di negeri-negeri yang teras kekuatan sokongan Melayu-Muslim dipegang oleh Pas. Ini akan menguji sejauh mana amalan ‘memberi dan menerima’ (give and take) dipraktiskan, dan sama ada persefahaman politik Pas-UMNO boleh bertahan dan dikembangkan kepada satu gabungan politik.

Adakah kerjasama di pe­ringkat nasional berpotensi me­­nimbulkan masalah kepa­da kerajaan atau pentadbiran negeri yang mempunyai ke­­pentingan politik berbeza antara UMNO dan Pas?
Apa yang kita alami sekarang ialah satu paradoks, parti-parti bertelagah di peringkat negeri tapi parti-parti bekerjasama di peringkat pusat.

Sebelum alaf baru ini, situasi ini cuma pernah berlaku di Sarawak sahaja.

Jadi menteri-menteri Kabinet umpamanya berkempen di pihak bertentangan dalam pilihan raya negeri, hingga kenyataan pedas antara sesama anggota Kerajaan Perpaduan mendorong gesaan dari banyak pihak supaya Parlimen dibubar sahaja.

Sungguhpun di sudut amalinya proses berkerajaan itu boleh berjalan seperti biasa, tapi jelas anggota kerajaan perpaduan tidak diikat oleh satu etos yang sama.

Ini menandakan satu kerajaan yang tiada kesepaduan (cohesion), dan hanya dipegang oleh kepentingan politik sempit, iaitu pautan pada kuasa.
Hal ini boleh ditamsilkan kepada kepentingan politik berbeza antara UMNO dan Pas.

Bagaimana pula dengan hu­bungan UMNO-Pas di pe­ringkat akar umbi? Adakah pe­nyokong kedua-dua parti su­dah bersedia untuk bekerja­sama atau sentimen permusuhan sejak PRU lalu masih kuat?

Mengambil masa, kadang-ka­dang masa yang lama, untuk ahli-ah­li peringkat akar umbi bekerja­sama. Jika setakat mengun­di atau mengelak buang undi, ini per­buatan yang relatifnya mudah dilaksanakan.

Tambahan pula, berdekad per­musuhan bukan mudah untuk dibaiki dalam jangka masa satu atau dua PRU.

Ia memerlukan program-pro­gram yang lebih merapatkan ukh­­wah, keselarasan dan kesefahaman dalam norma hidup bermasyarakat dan di luar kerangka kempen pilihan raya.

Ini termasuklah kehadiran ke gotong-royong, kenduri dan urusan pengkebumian jenazah, dan keahlian JKKK, Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Kariah yang lebih seimbang. Masih jauh lagi, saya lihat.

Siapakah yang lebih berpotensi mendapat manfaat daripada kerjasama ini, UMNO atau Pas? Dan adakah wujud risiko salah satu parti sebenarnya menjadi ‘penumpang’ kepada kekuatan parti yang lain?
Kedua-duanya boleh mendapat manfaat, asalkan ada kom­pro­mi dan sikap berlapang dada, bukan sikap holier than thou (aku lebih suci dari kamu). Se­ba­gaimana dinyatakan di atas, keadaan terkini antara Pas dan UMNO lebih seimbang, berban­ding katalah dua dekad yang le­pas.

Pas sudah dapat menyaingi UMNO di sudut mendapatkan so­kongan akar umbi Melayu, sementelah pula dengan reputasi teruk UMNO sedekad kebelaka­ngan ini kerana dirundung krisis 1MDB dan terkini Tabung Haji dan Felda.

Korupsi dikata berlaku ketika keduanya dikuasai oleh lantikan dan/atau ahli-ahli politik UMNO.

Jika kerjasama ini berjaya di­realisasikan sehingga PRU akan datang, apakah bentuk ke­rajaan yang mungkin terbentuk? Adakah UMNO-Pas mam­­pu menjadi blok politik uta­­ma, atau mereka masih me­­merlukan parti lain untuk mem­­bentuk kerajaan?
Jika gabungan PN-BN menang PRU16, sudah pasti UMNO-Pas sebagai kelompok Melayu-Muslim menjadi blok utama dan untuk menjadikan kerajaan lebih inklusif, wakil kaum lain dari MCA, MIC, Gerakan dan lain-lain dijemput bersama, tidak me­lupakan parti komponen lain se­perti Pejuang dan Wawasan.

Semangat berpasukan dan ke­rajaan gabungan sudah semestinya dipatuhi untuk menjamin ke­tahanan kerajaan.

Tapi, di sebalik soal kemam­puan, Pas dan UMNO tiada pilihan selain memampukan diri untuk memimpin negara majmuk ini dengan menekankan prinsip toleransi kaum, kepelbagaian budaya dan keharmonian agama yang selama ini telah mendasari prinsip bernegara (statecraft) Malaysia.

The post Ke mana dan sejauh mana kerjasama UMNO-Pas? appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved