
KUALA LUMPUR – Keadaan kesihatan pelakon, Along Eyzendy dilaporkan berada pada tahap semakin kritikal apabila organ dalamannya difahamkan kian lemah.
Perkembangan terkini itu dikongsikan rakan artisnya, Zalif Sidek menerusi satu hantaran di Instagram (IG) selepas menerima maklumat daripada adik kepada Along.
Menurut Zalif, pasukan perubatan kini tidak lagi dapat memberikan sebarang tindak balas kecemasan sekiranya berlaku perkara tidak diingini berikutan keadaan organ dalaman Along yang semakin lemah.
“Sekarang doktor dah tak bagi lagi untuk emergency respons kalau apa-apa terjadi sebab organ dalaman Along dah tak kuat.
“Sekarang ini doktor minta kita doakan dan reda apa-apa terjadi dekat Along.
“Pasukan perubatan sudah buat yang terbaik,” katanya.
Dalam hantaran sama, Zalif turut memohon orang ramai agar terus mendoakan yang terbaik buat sahabatnya itu.
“Mohon semua berdoa untuk sahabat kita Along semoga dipermudahkan urusan di dunia dan akhirat.
“Kepada sahabat dan kenalan yang ingin melawat Along boleh ke Hospital Serdang,” ujarnya.
Terdahulu, Along dilaporkan berada dalam keadaan kritikal selepas ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, Selangor, pada Khamis.
Isteri kepada Along, Hamidah Mohd Yatim memaklumkan keputusan untuk menidurkan suaminya dibuat susulan pendarahan serius dalam perut.
Bagaimanapun, sehingga kini pihak doktor masih belum dapat mengenal pasti punca sebenar masalah kesihatan yang dialami pelakon tersebut.

