
INDUSTRI golf kini turut mengalami perubahan seiring perkembangan teknologi digital yang mengubah cara pengguna mengakses perkhidmatan, mengurus keahlian dan mendapatkan pengalaman daripada sesuatu aktiviti.
Antara perkembangan terbaharu ialah pengenalan model keahlian golf digital sepenuhnya di Malaysia yang menggabungkan pengurusan keahlian, tempahan masa permainan, sistem ganjaran serta pengiktirafan handicap dalam satu platform digital.
Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana teknologi boleh digunakan untuk membentuk pengalaman sukan yang lebih tersusun dan berasaskan data.
Menurut Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif platform komuniti dan tempahan golf, Deemples, David Wong, konsep keahlian digital ini menggantikan sebahagian fungsi keahlian golf tradisional yang lazimnya bergantung kepada kad fizikal atau proses pengurusan secara manual.
“Melalui platform ini, status keahlian boleh diuruskan secara terus, manakala pelbagai manfaat berkaitan permainan boleh diakses melalui satu saluran digital.
“Model ini diperkenalkan sebagai keahlian golf yang sepenuhnya diuruskan menerusi aplikasi, sekali gus memperlihatkan peralihan daripada sistem keahlian konvensional kepada pendekatan berasaskan platform,” katanya kepada K-Tekno secara dalam talian baru-baru ini.
Tambahnya, satu lagi aspek inovasi ialah penggunaan pendekatan earn-as-you-play iaitu ganjaran yang dikaitkan dengan kekerapan seseorang bermain.
Dalam model ini, aktiviti permainan menjadi sebahagian daripada mekanisme untuk menentukan nilai yang diterima oleh pengguna.

Antara bentuk manfaat yang dinyatakan termasuk diskaun, pulangan tunai bagi tempahan tee time, baucar serta keistimewaan tertentu.
Lebih penting, pendigitalan keahlian tidak hanya tertumpu kepada transaksi. Kata Wong lagi, ia turut boleh menyokong perjalanan pemain golf daripada peringkat rekreasi kepada permainan yang lebih kompetitif.
“Melalui kerjasama dengan Persatuan Golf Malaysia (MGA), ahli yang layak boleh mendapatkan status World Handicap System (WHS).
“Handicap yang diiktiraf membolehkan pemain menilai kemajuan permainan dengan lebih konsisten dan menjadi asas untuk penyertaan dalam pertandingan golf amatur di Malaysia serta peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Dari sudut teknologi, penggabungan keahlian digital dengan sistem handicap memperlihatkan potensi platform sukan sebagai hab yang menghubungkan pelbagai aspek pengalaman pengguna.

Sebelum ini, pemain mungkin perlu menggunakan perkhidmatan berbeza untuk mencari rakan bermain, membuat tempahan, mengurus keahlian dan mendapatkan maklumat berkaitan prestasi.
Jelas Wong, pendekatan bersepadu berpotensi mengurangkan kebergantungan terhadap proses berasingan dengan mengumpulkan fungsi tersebut dalam ekosistem digital yang sama.
“Teknologi ini juga mempunyai implikasi terhadap pengurusan kemudahan sukan. Maklumat dalam bahan media menyatakan bahawa teknologi tempahan boleh membantu padang golf mengurus penggunaan tee time, termasuk waktu yang sebelum ini kurang dimanfaatkan.
“Data tempahan dan corak kunjungan boleh menjadi sumber maklumat penting untuk memahami permintaan pengguna serta mengoptimumkan penggunaan kemudahan,” kongsinya.
Pada masa sama, model digital sebegini menunjukkan perubahan dalam konsep keahlian sukan. Keahlian tidak lagi semata-mata bermaksud akses kepada sesuatu kelab atau kemudahan, sebaliknya boleh berkembang menjadi identiti digital yang menghubungkan aktiviti, rekod, ganjaran dan pengiktirafan dalam satu sistem.
Dalam konteks golf, perkembangan ini menjadi semakin relevan apabila pemain memerlukan akses yang lebih mudah kepada maklumat permainan dan perkhidmatan berkaitan.
“Keahlian golf digital sepenuhnya juga menggambarkan arah yang lebih luas dalam pendigitalan industri sukan.
“Platform ini bukan sekadar menjadi alat untuk membuat tempahan, tetapi berpotensi berfungsi sebagai infrastruktur digital yang menghubungkan pemain, padang golf, persatuan dan penyedia perkhidmatan,” tambah Wong.
Dengan semakin banyak aktiviti fizikal disokong teknologi digital, pengalaman bersukan pada masa hadapan berkemungkinan menjadi lebih berasaskan data, mudah diakses dan saling berhubung.
Perkembangan ini akhirnya memperlihatkan bahawa inovasi digital dalam sukan bukan hanya berkaitan penggunaan aplikasi baharu,tetapi perubahan terhadap cara sesuatu ekosistem berfungsi.
Dalam kes golf, pendigitalan keahlian membuka ruang kepada pengurusan permainan, pengiktirafan prestasi dan interaksi antara pemain dengan kemudahan sukan untuk disatukan dalam satu pengalaman yang lebih lancar.
The post Keahlian golf beralih ke era digital appeared first on Kosmo Digital.




