Membina komuniti digital berteraskan nilai

LocalTechnology
19 Aug 2026 • 8:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Membina komuniti digital berteraskan nilai

PERKEMBANGAN teknologi digital mengubah cara manusia melihat hubungan antara negara, masyarakat dan kehidupan seharian.

Internet kini bukan lagi sekadar medium komunikasi tetapi berkembang menjadi ruang baharu bagi kegiatan ekonomi, pendidikan, pentadbiran serta pembentukan komuniti yang merentasi sempadan.

Dalam perubahan ini, idea Network State yang dipopularkan tokoh teknologi, S. Balaji, mula mendapat perhatian dunia.

Konsep tersebut turut menjadi perbincangan di Malaysia apabila dikaitkan dengan projek Network School di Forest City, Johor. Walaupun mencetuskan pelbagai pandangan, isu ini membuka ruang untuk masyarakat menilai hubungan antara kemajuan teknologi, kedaulatan negara dan nilai agama.

Balaji berpandangan dunia sedang memasuki fasa baharu apabila pengaruh digital semakin berkembang. Menurutnya, internet berpotensi menjadi infrastruktur utama yang menghubungkan manusia serta membentuk komuniti dengan identiti, ekonomi dan jaringan pentadbiran tersendiri.

Walaupun komuniti digital tidak semestinya menggantikan peranan negara, namun idea tersebut menunjukkan perubahan besar dalam cara manusia membina hubungan sosial dan ekonomi. Namun, penerimaannya perlu mengambil kira realiti politik, sejarah dan budaya sesebuah negara.

Malaysia dibangunkan atas asas Perlembagaan Persekutuan, sistem Raja Berperlembagaan, demokrasi berparlimen serta kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan. Justeru, sebarang perkembangan melibatkan komuniti teknologi, penglibatan warga asing atau pelaksanaan dasar digital perlu dinilai secara berhati-hati agar tidak menjejaskan kedaulatan negara, keselamatan serta keharmonian masyarakat.

Kemajuan teknologi tidak boleh dijadikan alasan untuk mengetepikan prinsip kenegaraan. Sebaliknya, inovasi perlu bergerak seiring dengan undang-undang dan nilai masyarakat.

Islam tidak pernah menolak kemajuan ilmu dan teknologi. Wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah SAW melalui Surah al-‘Alaq menekankan kepentingan membaca, menuntut ilmu dan membangunkan peradaban berasaskan pengetahuan.

Sejarah Islam membuktikan umat Islam pernah menjadi peneraju dalam bidang matematik, astronomi, perubatan dan kejuruteraan. Hal ini menunjukkan kemajuan teknologi selari dengan ajaran Islam selagi membawa manfaat serta tidak bercanggah dengan syariat.

Namun, konsep komuniti digital perlu dinilai bukan hanya dari sudut kecanggihan teknologi tetapi juga aspek nilai dan tanggungjawab. Islam mengiktiraf kepentingan komuniti yang kukuh tetapi kekuatannya perlu dibina atas asas amanah, keadilan, ukhuwah dan kepimpinan yang berintegriti.

Rasulullah SAW mengingatkan setiap manusia ialah pemimpin dan dipertanggungjawabkan terhadap amanah yang dipikul. Prinsip ini menunjukkan pembangunan komuniti tidak boleh bergantung kepada teknologi semata-mata, sebaliknya memerlukan panduan moral yang jelas.

Dalam konteks ini, konsep maslahah yang sering ditekankan ilmuwan Islam seperti bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, amat penting. Setiap perubahan perlu dinilai berdasarkan manfaat dan kesan buruk yang mungkin berlaku kepada masyarakat.

Malaysia perlu mengambil pendekatan seimbang dalam menghadapi perkembangan komuniti digital. Teknologi yang mampu meningkatkan pendidikan, penyelidikan, pelaburan dan peluang pekerjaan wajar dimanfaatkan. Namun, segala pembangunan mesti dalam kerangka undang-undang serta kepentingan negara.

Kerajaan perlu menyediakan dasar yang jelas berkaitan teknologi digital, kecerdasan buatan (AI) dan keselamatan siber. Institusi agama serta universiti pula perlu memperkukuh perbincangan mengenai teknologi dari perspektif Islam supaya masyarakat memahami perubahan ini secara matang.

Pada masa sama, syarikat teknologi antarabangsa yang beroperasi di Malaysia perlu menghormati undang-undang tempatan, budaya masyarakat serta prinsip kedaulatan negara.

Idea Network State menggambarkan perubahan besar dalam dunia digital, namun kemajuan teknologi tidak boleh dipisahkan daripada nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.-UTUSAN

PENULIS ialah Pensyarah Kanan Unit Pengajian Islam dan Falsafah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia (UUM).

The post Membina komuniti digital berteraskan nilai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved