Keanggotaan Bersatu gugur automatik

LocalPolitics
8 Aug 2026 • 7:00 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Keanggotaan Bersatu gugur automatik

MARANG: Keanggotaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) gugur secara automatik susulan pengumuman Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan hasrat membentuk gabungan politik baharu.

Bagaimanapun, Bersatu menegaskan kedudukannya dalam PN masih kekal dan tidak berubah kerana parti itu belum membuat sebarang keputusan untuk menyertai mana-mana gabungan politik termasuk Ikatan Prihatin Rakyat (IPR).

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Ha­di Awang berkata, keadaan itu berdasarkan Perlembagaan PN yang menetapkan bahawa ahli­nya terkeluar daripada parti apa­bila menyertai gabungan lain.

Menurut beliau, pendirian itu selaras dengan peruntukan peraturan yang dipersetujui se­mua parti dalam PN ketika penubuhan awal gabungan berkenaan.

“Dia (Bersatu) sudah membuat kenyataan hendak tubuh satu pasukan lain, dengan sendirinya automatik dia keluar daripada PN,” katanya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila semalam.

Bulan lalu, Muhyiddin memaklumkan Bersatu akan membentuk gabungan baharu yang lebih hebat bersama beberapa parti lain selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Katanya, gabungan baharu berkenaan antara lain turut membabitkan parti dalam IPR antaranya Putra dan Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (Urimai).

Abdul Hadi berkata, PN tidak perlu membuat pemberitahuan secara rasmi kepada Bersatu berhubung kedudukannya dalam gabungan tersebut kerana parti itu keluar dengan sendiri apabila membuat kenyataan berkenaan.

“Saya rasa tidak perlu surat rasmi. Perlembagaan kita pun bila orang masuk parti lain, maka keluarlah,” katanya. 

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, tiada mana-mana fasal dalam Perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti anggota boleh tergugur secara automatik. 

Katanya, kedudukan Bersatu sebagai parti anggota PN hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden menurut Fasal 7A Perlembagaan gabungan itu. 

“Sehingga kini, Majlis Presiden tidak pernah bersidang untuk menentukan keanggotaan Bersatu dalam PN. Justeru, Bersatu masih parti anggota PN yang sah.

“Presiden Pas tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan Bersatu dalam PN. Kenyataan semberono beliau menunjukkan bahawa beliau tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN.

“Setiap parti anggota PN mempunyai hak yang termaktub di bawah Fasal 7 Perlembagaan gabungan itu termasuk menghadiri, memberi pendapat dan mengundi di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi, Badan Perhubungan Negeri dan Badan Perhubungan Kawasan masing-masing,” katanya semalam.

Pada masa sama, Ketua Penerangan Armada Bersatu, Harris Idaham Rashid berkata, status Bersatu dalam PN tidak boleh tergugur secara automatik hanya kerana Muhyiddin menyatakan hasrat membentuk gabungan baharu.

Katanya, kenyataan mengenai pembentukan gabungan baharu sahaja tidak memadai untuk menyebabkan Bersatu terkeluar daripada PN.

“Bersatu tidak terkeluar daripada PN secara automatik hanya kerana ada ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membuat gabungan baharu. 

“Perkara yang paling penting, tidak ada ketetapan atau keputusan Bersatu menyertai gabungan lain atau membuka gabungan baharu sehingga ke hari ini.

“Keahlian Bersatu dalam PN hanya akan terhenti apabila Bersatu sudah menyertai gabungan lain. Tidak cukup hanya dengan ucapan untuk kehilangan keahlian PN secara automatik,” katanya kepada Utusan Malaysia.-UTUSAN

The post Keanggotaan Bersatu gugur automatik appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved