‘Abdul Hadi Awang Tak Ada Hak Atau Kuasa Veto Untuk Tentukan Kedudukan BERSATU Dalam PN’ – Azmin Ali

LocalPolitics
7 Aug 2026 • 6:18 PM MYT
BuzzKini
BuzzKini

Laman Berita Social Malaysia

‘Abdul Hadi Awang Tak Ada Hak Atau Kuasa Veto Untuk Tentukan Kedudukan BERSATU Dalam PN’ – Azmin Ali

Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.

Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Azmin Ali tampil membidas kenyataan dikeluarkan Presiden PAS, Abdul Hadi Awang yang sebelum ini mendakwa keanggotaan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) tergugur secara automatik selepas Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan akan membentuk gabungan baharu.

Dakwaan BERSATU Digugurkan Secara Automatik Bercanggah Dengan Perlembagaan PN – Azmin

Jelasnya, dakwaan itu bercanggah dengan perlembagaan parti. Hal ini kerana menurutnya, tidak ada mana-mana fasal dalam perlembagaan PN yang memperuntukkan keanggotaan sesebuah parti anggota boleh tergugur dengan sendirinya.

“Kedudukan BERSATU hanya boleh dimuktamadkan oleh Majlis Presiden mengikut Fasal 7A Perlembagaan PN dan sehingga kini majlis berkenaan tidak pernah bersidang bagi membuat keputusan mengenai perkara tersebut.

“Presiden PAS tidak mempunyai apa-apa hak atau kuasa veto untuk menentukan kedudukan BERSATU dalam PN.

“Kenyataan semberono beliau menunjukkan bahawa dia tidak mempunyai pengetahuan asas mengenai Perlembagaan PN,” katanya, lapor Malaysiakini.

Abdul Hadi Awang Dakwa BERSATU Terlucut Secara Automatik Daripada PN

Sebelum ini, Abdul Hadi Awang berkata mengikut perlembagaan, mana-mana pihak yang memutuskan untuk menyertai atau membentuk jalinan lain akan secara automatik hilang keahlian tanpa memerlukan sebarang surat rasmi atau keputusan khusus.

“Saya berpendapat PN tidak perlu mengeluarkan surat rasmi terutama membabitkan perlucutan itu. Perlembagaan kita pun bila orang masuk parti lain, maka keluarlah,” katanya, dipetik Berita Harian.

Muhyiddin Memaklumkan BERSATU Akan Bentuk Gabungan Baharu Selepas PRN N9

Pada 17 Julai lalu, Muhyiddin memaklumkan bahawa beliau akan membentuk gabungan baharu bersama beberapa parti lain selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Menurut Muhyiddin gabungan tersebut merangkumi BERSATU dan parti dalam Ikatan Prihatin Rakyat (IPR) antaranya PUTRA serta Parti Bersepakat Hak Rakyat Malaysia (URIMAI).

Baca Artikel Berkaitan: PAS Putus Kerjasama Politik Dengan BERSATU – Abdul Hadi Awang

Baca Artikel Berkaitan: PRN Negeri Sembilan: Muhyiddin Umum Bersatu Guna Logo Sendiri

Azmin Persoal Tindakan Ahmad Samsuri & Takiyuddin Halang Wakil BERSATU Hadiri Mesyuarat Majlis Tertinggi

Dalam pada itu, Azmin turut mendakwa tindakan Pengerusi PN, Ahmad Samsuri Mokhtar dan Setiausaha Agung PN, Takiyuddin Hassan yang menghalang wakil BERSATU daripada menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi pada 16 Julai lalu sebagai satu pelanggaran serius terhadap perlembagaan parti.

“Mesyuarat tersebut difahamkan telah membuat keputusan berhubung pengagihan kerusi dan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

“Merujuk kepada Fasal 7.1 Perlembagaan PN yang menetapkan bahawa setiap parti anggota mempunyai hak sepenuhnya untuk menghadiri, memberikan pendapat, dan mengundi dalam mesyuarat Majlis Tertinggi serta peringkat perhubungan berkaitan,” jelasnya.

BERSATU Akan Buat Aduan Kepada RoS Berhubung Dakwaan Pelanggaran Perlembagaan PN – Azmin

Susulan isu tersebut, Azmin berkata BERSATU akan membuat aduan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berhubung dakwaan pelanggaran perlembagaan gabungan terbabit.

“PN yang dikuasai oleh PAS tidak lagi menjunjung perlembagaan gabungan tersebut, mengetepikan prinsip tadbir urus yang baik, serta bertindak secara semberono dan tidak demokratik,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved