Kebakaran di Kampung Cina: Polis tunggu laporan forensik bomba

9 Jun 2026 • 4:45 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Kebakaran di Kampung Cina: Polis tunggu laporan forensik bomba
Mohd Yusoff (dua dari kiri) semasa hadir ke tapak lokasi kebakaran melibatkan 29 buah rumah di Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu pada Selasa.

KOTA BHARU – Polis Kelantan belum dapat mengesahkan sama ada kebakaran yang memusnahkan 29 buah rumah di Kampung Cina, Gok Kapur di sini mempunyai unsur khianat atau sebaliknya kerana siasatan masih dijalankan oleh pihak bomba.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, sebarang dakwaan berhubung punca kebakaran termasuk mengaitkannya dengan mana-mana individu tidak boleh dibuat selagi siasatan belum dimuktamadkan.

Menurut beliau, setakat ini polis tidak mempunyai sebarang pengesahan berhubung punca sebenar kejadian.

"Kita tidak tahu lagi kerana perkara itu masih dalam siasatan bomba.

"Kalau benda itu tidak pasti, kita tidak boleh cakap apa-apa. Bila sudah disahkan, barulah kita boleh bercakap," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi kejadian pada Selasa.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan yang tular dalam kalangan penduduk berhubung kemungkinan wujud unsur khianat dalam kebakaran tersebut.

Mohd Yusoff turut menjelaskan bahawa polis masih belum mengambil keterangan penduduk kerana siasatan awal kes itu dikendalikan sepenuhnya oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Menurutnya, tindakan lanjut pihak polis akan dibuat berdasarkan hasil siasatan dan laporan forensik yang dikeluarkan oleh bomba.

"Setakat ini belum lagi (ambil keterangan penduduk). Siasatan bergantung kepada pihak bomba terlebih dahulu.

"Berdasarkan rumusan laporan forensik bomba nanti, barulah polis akan menjalankan siasatan lanjut jika terdapat unsur-unsur lain," katanya.