KOTA BHARU - "Saya tidak menyangka teguran supaya jangan bermain api sehari sebelum kejadian bertukar menjadi tragedi yang memusnahkan 29 buah rumah."
Demikian luahan seorang mangsa kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur, Mohd Yusoff Ahmad, 65, yang mengalami kerugian lebih RM200,000 dalam kejadian berkenaan.
**media[3545056]**
Pesara itu berkata, sehari sebelum kejadian, dia sempat menegur seorang anak jirannya yang merupakan orang kurang upaya (OKU) mental, kerana membakar kertas di bahagian dapur sebelum membuangnya di luar rumah.
Menurutnya, rumah jiran tersebut hanya kira-kira 1.8 meter dari kediamannya dan dihuni seorang ibu berusia lingkungan 70-an bersama dua anak perempuan berusia 30-an yang merupakan OKU mental.
"Pada hari kejadian sekitar jam 12 tengah hari saya bersama seorang rakan sedang membina reban ayam di belakang surau yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah.
"Tiba-tiba rakan saya yang dikenali sebagai Man memaklumkan terdapat api marak di rumah jiran itu dan sedang merebak ke arah rumah saya," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian pada Selasa.
**media[3545057]**
Menurut Mohd Yusoff, dia terus berlari pulang dan cuba mengalihkan tilam di bilik anaknya bagi memastikan api tidak terus merebak.
Bagaimanapun katanya, api marak terlalu cepat sehingga dia tidak mampu berbuat apa-apa.
“Saya hanya sempat mengarahkan isteri, Zarina Mohd Nor, 61, dan anak autisme kami, Mohd Amin Firdaus, 18, keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri,” katanya.
**media[3545058]**
Mohd Yusoff berkata, kebakaran itu mengakibatkan kerugian melebihi RM200,000 termasuk wang simpanan RM10,000, beberapa keping dinar emas serta barang kemas milik isterinya.
"Minggu lepas saya baru pasang dua unit pendingin hawa dan membeli peti sejuk baharu. Sekarang semuanya habis musnah. Walaupun tinggal sehelai sepinggang, saya reda dengan ujian ini," katanya.
Menurutnya, buat masa ini dia bersama isteri dan anak menumpang sementara di surau berhampiran kawasan kebakaran.
"Saya cuma berharap dapat memulakan hidup baharu walaupun terpaksa bermula dari kosong," katanya.






