Penempatan baharu mangsa kebakaran diteliti, bergantung status tanah - Menteri Besar Kelantan

9 Jun 2026 • 4:20 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Penempatan baharu mangsa kebakaran diteliti, bergantung status tanah - Menteri Besar Kelantan
Mohd Nassuruddin (dua,kanan) dan Dr Izani (kanan) menyampaikan bantuan kepada mangsa kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu pada Selasa. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Image from: Penempatan baharu mangsa kebakaran diteliti, bergantung status tanah - Menteri Besar Kelantan
Mohd Nassuruddin (berdiri) menyampaikan kata-kata semangat kepada mangsa kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur, Kota Bharu pada Selasa. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan akan meneliti keperluan penempatan semula kepada 27 keluarga mangsa kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini pada Isnin, dengan mengambil kira status pemilikan tanah yang terlibat.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata, perkara itu akan dibincangkan secara terperinci selepas kerajaan negeri memperoleh maklumat lengkap berhubung kedudukan tanah dan latar belakang mangsa.

Menurut beliau, berdasarkan maklumat awal yang diterima, sebahagian kawasan terlibat dipercayai berada di atas tanah sewaan dan bukannya milik pemilik rumah.

"Kita akan bincang kemudian. Kita perlu tengok dahulu status tanah itu milik siapa kerana saya difahamkan tanah berkenaan disewa dan bukan milik tuan rumah.

"Kita juga akan teliti keadaan setiap mangsa kerana ada antara mereka yang mempunyai rumah lain," katanya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan awal kepada mangsa kebakaran di Kampung Cina, Gok Kapur di sini pada Selasa.

**media[3545557]**

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang, Datuk Dr Izani Husin dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Menurut Mohd Nassuruddin, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan awal menerusi beberapa agensi bagi meringankan beban mangsa yang terjejas.

"Bantuan awal telah disampaikan melalui tabung Serambi Makkah, Yayasan Kebajikan, Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan (PKINK) dan Persatuan Isteri-Isteri Wakil Rakyat.

"Saya mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang terlibat dan berharap mereka bersabar menghadapi ujian ini," katanya.

Ujar beliau, kebajikan mangsa termasuk keperluan makanan dan tempat perlindungan sementara kini berada dalam keadaan terkawal hasil kerjasama pelbagai pihak.

Menurutnya, mangsa lelaki ditempatkan di sebuah surau yang tidak terjejas dalam kebakaran, manakala mangsa wanita ditempatkan di Masjid Banggol.

"Ada juga mangsa yang tinggal sementara di rumah saudara-mara. Dari segi makan minum dan keperluan asas, semuanya telah disediakan," katanya.