
MADRID: Kebakaran hutan besar yang melanda Eropah pada Jumaat memaksa Agensi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) mengosongkan satu daripada tiga kemudahan komunikasi angkasa lepas globalnya di Sepanyol, sekali gus menjejaskan keupayaan agensi itu berkomunikasi dengan prob angkasa.
Jurucakap NASA dalam satu kenyataan kepada AFP berkata, Kompleks Komunikasi Angkasa Lepas Madrid (MDSCC) terletak di Robledo, kira-kira 65 kilometer di barat Madrid.
“Kebakaran hutan melalui kawasan MDSCC. Sebarang kemungkinan kerosakan akan dinilai apabila keadaan selamat untuk berbuat demikian,” kata agensi angkasa Amerika Syarikat (AS) itu, sambil memaklumkan semua kakitangan dipindahkan dengan selamat.
MDSCC adalah sebahagian daripada Rangkaian Angkasa Lepas, iaitu satu daripada tiga lokasi yang membolehkan NASA berkomunikasi dengan kapal angkasa yang meneroka kawasan jauh di galaksi.
Dua lagi lokasi rangkaian itu berada di Canberra, Australia dan Goldstone, California, dengan NASA menyatakan kedua-duanya mengambil alih sokongan operasi misi tanpa gangguan.
“Keselamatan dan kesejahteraan kakitangan kami adalah keutamaan tertinggi. Ingatan dan doa kami bersama keluarga serta jiran yang turut terkesan akibat kebakaran hutan di komuniti sekitar,” menurut kenyataan itu.- AFP
The post Kebakaran hutan jejas kemudahan NASA di Sepanyol appeared first on Utusan Malaysia.



