Kebakaran Indonesia hampir 12 kali ganda keluasan London

Environment
19 Oct 2026 • 6:01 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kebakaran Indonesia hampir 12 kali ganda keluasan London

JAKARTA: Lebih 1.9 juta hektar kawasan di Indonesia terbakar dalam tempoh Januari hingga akhir September tahun ini, menurut analisis imej satelit oleh organisasi pemantau alam sekitar, Nusantara Atlas.

Pengasas Nusantara Atlas, David Gaveau, berkata keluasan kawasan terbakar yang dianggarkan 1,916,588 hektar itu hampir 12 kali ganda keluasan London, namun angka sebenar berkemungkinan lebih tinggi.

Beliau berkata, anggaran itu masih konservatif berikutan jerebu tebal yang menyukarkan pengesahan imej satelit, selain kaedah pengiraan yang mengecualikan kawasan kebakaran individu kurang daripada 6.25 hektar.

“Anggaran keluasan kawasan terbakar kami adalah konservatif atas dua sebab. Pertama, kami tidak mengambil kira kawasan kebakaran individu kurang daripada 6.25 hektar. Kedua, kami mengutamakan usaha mengelakkan pengesanan yang tidak tepat,” katanya.

Sementara itu, kerajaan Indonesia belum mengeluarkan angka rasmi keluasan kawasan terbakar selepas melaporkan kira-kira 202,000 hektar kawasan musnah akibat kebakaran sehingga akhir Julai lalu.

Gaveau berkata, pengiraan tahun ini turut terjejas apabila jerebu tebal menghalang penglihatan imej satelit pada waktu tertentu.

“Justeru, jumlah keluasan kawasan terbakar yang dilaporkan adalah lebih rendah daripada keluasan sebenar,” katanya.

Bagaimanapun, data Nusantara Atlas menunjukkan keluasan kawasan terbakar sehingga akhir September tahun ini adalah 38 peratus lebih tinggi berbanding tempoh sama pada 2019.

Data perbandingan dengan kebakaran besar pada 2015 tidak tersedia kerana satelit yang digunakan organisasi pemantau itu belum beroperasi ketika kejadian berkenaan.

Namun, Gaveau berkata, keadaan kebakaran tahun ini berkemungkinan seteruk pada 2015.

“Pada pandangan saya, keadaan tahun ini berkemungkinan sama buruk. Jika dilihat pada jumlah titik panas yang dikesan, trendnya terus meningkat,” katanya.- AFP

The post Kebakaran Indonesia hampir 12 kali ganda keluasan London appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved