Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Lebih 107,000 hektar kawasan hutan dan tanah di seluruh Indonesia dilaporkan terjejas akibat kebakaran.
Susulan itu, kerajaan Indonesia sedang meningkatkan usaha bagi memastikan asap kebakaran berkenaan tidak merebak dan menjejaskan negara jiran termasuk Malaysia dan Singapura.
Menteri Penyelaras Hal Ehwal Politik dan Keselamatan Indonesia, Djamari Chaniago, berkata setakat ini pihaknya belum menerima sebarang laporan bahawa asap daripada kebakaran itu telah menjejaskan negara lain.
Menurutnya, usaha menangani kebakaran bukan hanya berkaitan pemadaman api dan perlindungan alam sekitar, sebaliknya turut melibatkan tanggungjawab negara dalam memastikan keselamatan serta kesihatan awam.
“Kami telah menegaskan kepada anggota di lapangan bahawa usaha ini bukan sekadar memadamkan kebakaran dan melindungi alam sekitar serta kesihatan awam.
“Sebaliknya ia juga adalah tanggungjawab negara yang perlu dipikul bersama,” katanya dalam sidang media pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan jerebu merentas sempadan menjejaskan Malaysia dan Singapura serta langkah yang diambil Indonesia berhubung perkara itu.
Artikel berkaitan: “Claim semua kecuali jerebu” – Netizen Bengang Indonesia Nafi Kebakaran Hutan Punca Jerebu Di Malaysia
Artikel berkaitan: Ratusan Titik Panas Dikesan Di Kalimantan, Malaysia Bakal Jerebu Lagi?

Dalam pada itu, kira-kira 43 helikopter telah dikerahkan untuk operasi udara bagi membantu memadamkan kebakaran.
Djamari berkata, operasi pembenihan awan juga kekal sebagai antara langkah paling berkesan untuk membantu menangani kebakaran, namun pelaksanaannya bergantung kepada kewujudan awan yang berpotensi menghasilkan hujan.
Berdasarkan ramalan cuaca, pembentukan awan berkenaan berkemungkinan berlaku dalam tempoh tiga atau empat hari sehingga 18 Ogos, sekali gus membuka peluang untuk operasi pembenihan awan dilaksanakan.
Sementara itu, enam wilayah dikenal pasti sebagai kawasan paling kritikal iaitu Riau, Jambi, Sumatera Selatan, Kalimantan Barat, Kalimantan Tengah dan Kalimantan Selatan.
Djamari turut memberi amaran bahawa fenomena El Nino yang kuat berpotensi mempercepatkan kejadian kebakaran hutan dan tanah di negara itu yang dijangka berterusan sehingga sekitar September atau awal Oktober.
Sumber: Berita Harian
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.



