amree07/05/2026 - 16:10 Kilang dan gudang milik anak syarikat Wang-Zheng Berhad yang terbakar pada 30 Jun 2025 di Rawang, Selangor. - Foto ihsan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 7 Mei – Wang-Zheng Berhad mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM7.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, berbanding keuntungan bersih RM1.1 juta pada tahun sebelumnya.
Punca utama kepada prestasi negatif ini adalah disebabkan insiden kebakaran yang berlaku di kilang dan gudang dimiliki oleh anak syarikatnya, Carefeel Cotton Industries (M) Sdn Bhd di Rawang, Selangor.
Menurut makluman kumpulan berkenaan kepada Bursa Malaysia, kejadian pada 30 Jun 2025 tersebut mengakibatkan hapus kira inventori serta hartanah, loji dan peralatan (PPE) berjumlah RM11.6 juta.
Tragedi buruk tidak dijangka tersebut mengakibatkan lebih 90% daripada keseluruhan tapak bangunan industri yang berkeluasan 21 gelanggang tenis terletak di Batu 22, Jalan Kundang itu hangus terbakar.
"Syarikat ini mencatatkan pendapatan keseluruhan sebanyak RM302.9 juta, iaitu susut sedikit kira-kira 1.9% berbanding RM308.8 juta dilaporkan pada tahun kewangan sebelumnya (FY24)," tambah Wang-Zheng.
Penurunan ini jelasnya, dipengaruhi pelarasan harga dalam segmen produk kertas diproses, selain prestasi kumpulan itu turut terkesan oleh isu peningkatan perbelanjaan pemasaran dan pengedaran.

Situasi berkenaan ujarnya, terutama melibatkan faktor yuran platform e-dagang dan kos pengiklanan untuk mempromosikan jenama dalaman syarikat tersebut sepanjang tahun kewangan dalam tinjauan.
Berikutan kerugian itu, Lembaga Pengarah Wang-Zheng tidak mencadangkan sebarang pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2025, untuk memelihara aliran tunai dan menyokong pemulihan operasi kumpulan.
"Syarikat ini sudah menerima kelulusan tuntutan insurans akhir berjumlah RM11.7 juta bagi PPE dan RM5.9 juta bagi inventori, dengan sebahagian daripadanya diterima oleh kumpulan," tambahnya lagi.
Di sebalik cabaran tersebut, pihak pengurusan terus mengukuhkan kedudukannya dengan mengembangkan rangkaian pengedaran ke pasaran serantau melalui penubuhan anak syarikat baharu, di Singapura.
Selain itu, Wang-Zheng tetap komited untuk mengoptimumkan kecekapan operasi serta memantapkan kedudukan jenama dalaman popular keluarannya seperti P.Love dan Carina. - DagangNews.com





