
Pusingan kedua Kejohanan Eropah Wanita FIM (FIM Women’s European Championship) di Litar Autodromo Vallelunga menyaksikan aksi kebangkitan luar biasa pelumba wanita negara apabila berjaya bangkit daripada detik cemas di awal perlumbaan untuk menamatkan saingan dalam kelompok terbaik.
Memulakan perlumbaan dari petak kesembilan, pelumba negara itu berdepan situasi mendebarkan sebaik sahaja memasuki selekoh pertama apabila terpaksa membrek awal bagi mengelakkan pertembungan dengan pelumba lain. Insiden tersebut menyebabkan beliau hilang beberapa posisi dan jatuh ke tangga ke-12.
Namun semangat juang tinggi yang dipamerkan jelas membuktikan kematangannya di pentas Eropah. Dengan fokus penuh, beliau mula memburu kelompok hadapan satu demi satu sebelum berjaya menamatkan perlumbaan di kedudukan kelapan keseluruhan dan ketujuh dalam kategori WEC.
Apa yang lebih mencuri perhatian ialah peningkatan drastik catatan masa lap bersama jentera Yamaha YZF‑R7 miliknya. Jika sebelum ini beliau hanya mencatat masa sekitar 2:00 minit hingga 1:59 minit ketika sesi ujian dan kelayakan, pelumba negara itu berjaya menurunkan masa terbaik kepada 1:53 minit ketika perlumbaan sebenar.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Team Sommariva Corse atas sokongan teknikal dan persiapan jentera sepanjang hujung minggu perlumbaan. Dengan momentum positif ini, peluang untuk melihat pelumba negara memburu podium pada pusingan seterusnya kini semakin cerah.







The post Kebangkitan Hebat Di Vallelunga, Pelumba Negara, Saidatul Zakirah Semakin Serasi Bersama Yamaha R7 appeared first on TW Media.




