Kebersihan alam sekitar bermula daripada individu

LocalEnvironment
27 Sep 2026 • 11:51 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

Kebersihan alam sekitar bermula daripada individu

KOTA KINABALU: Kunci asas kepada kelestarian alam sekitar yang bebas sampah serta pengurusan sisa secara sistematik bermula daripada diri setiap individu, sekali gus membentuk komuniti yang peka dan cakna terhadap isu berkenaan.

Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Dr Sabin Samitah berkata keberkesanan pelaksanaan program kebersihan di kawasan komuniti bergantung kepada sikap masyarakat serta usaha berterusan untuk mencegah kawasan masing-masing daripada dicemari sampah.

“Kita perlu perubahan minda, kita mesti memberi fokus untuk sentiasa melihat sesuatu usaha itu dari sudut positif, termasuk usaha menjaga persekitaran kita daripada timbunan sampah.

“Masyarakat kena ubah sikap untuk sama-sama mengekalkan kebersihan kawasan persekitaran kita kerana pembersihan kawasan adalah tindakan kita sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang disampaikan wakilnya, Ketua Pengarah DBKK Datuk Sr Lifred Wond, ketika hadir merasmikan Program Pembersihan Mega Seluruh Negara, Hari Cuci Malaysia 2026 Peringkat Bandaraya Kota Kinabalu, di Perdana Park Tanjung Aru, Sabtu.

Menurut beliau, acara tahunan yang diadakan bersama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu meletakkan sasaran baharu tahun ini dengan melibatkan penyertaan 200,000 peserta gotong-royong di seluruh negara dan mengumpulkan 28 tan barangan kitar semula bagi memecahkan rekod The Malaysia Book of Records.

Jelasnya, usaha itu berlandaskan idea utama untuk mendidik masyarakat mengurus aspek kebersihan dalam kehidupan seharian serta lebih mahir mengendalikan bahan sisa terpakai untuk tujuan kitar semula.

“Aktiviti pembersihan bukan sekadar semasa program, tetapi kita mahu ia menjadi sebuah budaya, budaya yang sebati dalam masyarakat kita.

“Kita kena contohi masyarakat negara luar, misalnya Jepun, yang sangat mementingkan budaya kebersihan hingga mereka dikenali dengan sifat murni tersebut,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa DBKK sedang giat berusaha mengkaji mekanisme pembelian barangan kitar semula.

“Kita dalam usaha ini dan urusan pembelian barangan kitar semula secara pandu lalu, termasuk e-sisa, turut menjadi aspek yang kita teliti.

“Bagaimanapun, usaha keras untuk mendidik komuniti masih penting kerana perkara ini harus bermula dari asas, iaitu bagaimana kita menguruskan sisa daripada peringkat awal,” jelasnya.

Seramai 1,500 peserta terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), pelajar kolej dan universiti serta pelajar sekolah turut sama dalam program kali ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved